Saturday, April 30, 2011

Terbalik

Tak. Sebenarnya houlier tadi terbalik sebab tayar dia pecah.

Tergolek kontena tu kat atas jalan. Gua rasa pemandu dia selamat kot. Tengok tak ada darah pun atas jalan. Ambulance pun tak ada. Gua harap barang dalam kontena tu berisi telefon bimbit macam Blackberry ke, Iphone ke, Nokia ke. Tak pun kalau daging burger pun dah kira ok juga.

Ahhh, apa nak heran. Eksiden-eksiden lori kontena kat sini memang dah biasa gua tengok. Gua dah tak heran sangat. Tempat kerja gua ni pun lebih kurang macam medan tempur juga. Kadang-kadang ada yang cedera parah, kadang-kadang ada yang mati...

Cuma ruginya gua tak sempat nak tengok apa benda yang ada dalam kontena tu... Kalau sos tiram sedap juga gua bawak balik...

Sumpah! i sayang u sorang je!

Hal video porno membabitkan orang-orang politik ni memang tengah hot sekarang ni. Gua rasa 24 jam berita kat radio, surat khabar dan tibi pun asyik cerita benda ni juga. Entah apa nak jadi dengan dunia politik kat Malaysia ni pun gua tak tau. 24 jam panas dengan jenayah politik yang tak sudah-sudah. Sumpah memang bengap!

Sampai satu tahap nak setelkan masalah pun sekarang ni dah main sumpah-sumpah kat masjid. Gua rasa scene politik kat Malaysia ni dah kembali kepada zaman jahiliah kot. Dari apa yang gua belajar, yang gua dengar dan gua tahu, orang yang suka bersumpah ni biasanya tergolong dalam kategori orang yang munafik. Kalau gua salah minta maaflah. Kalau tak munafik pun, gua labelkan sebagai golongan yang bengap. Sumpah, lu memang bengap!

Benda-benda macam ni lu boleh fikir sendiri. Masa lu rakam video seks tu ada lu ingat Allah? lu taukan benda tu haram? kemudian lu sebarkannya pula untuk tontonan umum. Masa lu sebarkan video porno tu lu ada fikir tak yang perbuatan lu tu Allah tak suka? bahkan haram hukumnya mengaibkan orang lain. Dan kini tiba-tiba lu berani pula bersumpah atas nama Allah semata-mata nak menegakkan pendirian lu dan hujah terakhir lu untuk meyakinkan orang ramai? Aduhhh apa punya bengap la...Sumpah, lu memang bengap!

Gua tak tau nak cakap apa lagi. Scene politik kat Malaysia sekarang ni memang kelakar dan tak masuk akal!

Sumpah!


Sumpah! gua sayang lu sorang je!

Naluri dan kucing.

Percayakah anda, walaupun gua tergolong dalam kategori lelaki gila kucing dan telah hidup bersama kucing sejak dari kecil hinggalah sekarang, tetapi hingga sekarang pun gua masih tidak pernah punya pengalaman membeli kucing di kedai kucing. Tidak sekali. Survey harga-harga kucing pun tak penah. Hatta species kucing pun gua memang tak reti dan tak pernah ambil tahu.

Ini kerana, setiap kucing yang gua bela, yang gua sayang, yang gua beri makan, yang gua dukung semuanya datang sendiri ke rumah gua tanpa di ketahui dari mana asal usulnya. Sebagai manusia yang penyayang, tentulah gua tidak pernah menolak kedatangan mereka. Apatah lagi membuang mereka. Dan majoriti kucing yang datang ke rumah gua semuanya dari jenis kucing kampung yang lasak dan berbulu tegap serta pandai tangkap tikus.

Walaupun hidup gua dan keluarga tidaklah semewah mana, tetapi Alhamdulilah masih juga mampu memberi kesemua kucing-kucing gelendangan ini makan. Apa yang kami makan, maka itulah yang mereka makan. Jika kami berpuasa, maka mereka akan menghormati. Tidak bising untuk meminta makanan. Cuma kebelakangan ini mereka sudah dibiasakan dengan makanan berjenama. Maksud gua makanan pesen macam frieskies tu semua la. Itu pun berjadual. Mana mampu nak kasi siang malam makan frieskies. Nasi berlauk ikan goreng jerlah yang termampu untuk mereka semua.

Dan tahukah anda kenapa ini terjadi? ini terjadi kerana kucing mempunyai satu naluri yang tidak dimiliki oleh manusia yang mempunyai akal. Hatta makwe sekalipun tidak dikurniakan naluri yang serupa dengan kucing. Dengan naluri yang dikurniakan tuhan kepada kucing-kucing ini, maka mereka ( kucing ) tahu dimana tempat yang baik untuk meminta makan, berlindung dan bermanja. Mereka seakan tahu manusia mana yang baik untuk dijadikan tuan. Kucin tidak akan datang kepada manusia yang jahat, kedekut dan sombong. Hanya orang yang terpilih sahaja yang selalu hidupnya didekati kucing. Lu ingat gua bergurau?

Sebab tu orang tua-tua kata, kalau nak cari calun suami yang baik, carilah yang suka dengan kucing dan yang ada bela kucing. Muka bukan ukuran. Yang penting dia suka pada kucing.

Kerana itu juga, haiwan-haiwan ini tanpa dijemput dia datang dengan sendirinya ke rumah gua. Ke rumah yang terpilih. Tanpa dipaksa. Seperti ada suatu kuasa yang mendorong mereka untuk ke sini. Satu faktor yang pasti, orang yang suka membuang kucing seperti tahu dimana mereka harus membuang kucing-kucing mereka kalau bukan ke rumah gua. Aneh juga bila gua fikir-fikir. Benda qadak dan qadar Allah ni datang dalam pelbagai cara.

Orang kata, kalau kita bagi makan kucing, rezeki kita jadi murah. Orang kata, bukan gua yang memandai. Padahal rezeki kita sehari-hari datangnya dari Allah, bukan bos tempat kerja pun yang bagi. Tapi bila fikir balik macam ada betul juga. Mungkin sekadar penyebab. Oleh kerana selalu memberi kucing makan, kini gua dah mampu memiliki laptop dan juga berlonggok-longgok kereta kecik. Blackberry, HTC, Nokia dan segala macam telefon bimbit android gua masih belum mampu lagi. Mungkkin kena tambah bilangan kucing kat rumah baru dapat kot.

Naluri kucing ni selalunya benar. Maksud gua dia macam tau-tau jer dengan situasi kita pada satu-satu masa. Kalau gua tengah sedih, dia macam tau dan datang dekat gua meleset-leset dan minta di manja. Dari renungan matanya gua yakin dia memang faham dengan situasi gua. Andai kucing boleh bertutur dalam bahasa manusia, tentu dia akan jadi sahabat manusia yang paling baik. Seriusly kucing tak pandai menipu macam lu beb!

Ok, tapi bagaimana kalau gua mencuri kucing pula? Tak. Bukan curi, tapi lebih pada amik dan bawak balik rumah sebab tak tahu siapa tuan punya. Salah ke tak salah? berdosa ke tidak? Mestilah. Tak kan gua nak bawak balik kucing yang biasa-biasa. Kalau jumpa yang bulu kembang, muka bulat, tapak kaki besar, itulah yang gua bawk balik. tapi nak jumpa yang pesen macam ni berkeliaran memang susah. Kucing-kucing pesen macam ni biasanya duduk kat dalam sangkar besi. Tuan punya tak kasi jalan-jalan tak tentu hala. Kucing pesen ni tak dapat lihat dunia dengan luas. Kesian juga kadang-kadang jadi kucing mahal ni.

Sebab dalam sejarah bela kucing, gua memang tak pernah bela kucing Parsi, Siam, Guatamala dan apa spesis kucing bulu kembang yang lainnya. Gua memang tak pernah bela kucing mahal. Gua tak pernah bela kucing yang kena kasi makan makanan tertentu. Gua pun tak pernah simpan kucing dalam kandang. Tak reti sebenarnya. Semua pun dari dulu sampai sekarang pesen kucing kampung sahaja. Kalau ada pun nasib-nasib. Itu pun kalau yang datang rumah dah siap mix siam kahwin dengan kampung.

Jaga kucing kampung ni senang. Tak cerewet sangat. Bagi makan apa pun dia bedal juga. Paling sinonim ikan goreng dengan nasik. Kadang-kadang roti pun dia makan juga. Ahh, senang cerita apa yang orang dalam rumah ni makan, dia pun makan. Masa gua duduk Kampung Melayu dulu, gua ada satu kucing yang suka makan pucuk ubi dan juga coklat. Sayangnya kucing ni hilang. Tak tau siapa curi. Padahal kucing kampung jer. Tapi pesen muka bulat, ekor panjang dan tapak kaki besar. Confirm sekrang ni kucing tu mesti dah mati. Sebab masa era 90an kot.

Lupa nak cerita, masa gua baru-baru pindah Senai ( rumah terkini ), gua ada bela satu kucing yang suka main congkak. Gua pun heran, apa bestnya congkak pada dia. Hampir tiap-tiap malam dia akan main congkak sorang-sorang. Mungkin dia tertarik pada guli yang ada dalam lubang congkak tersebut. Tapi sayangnya umur kucing ni tak panjang sebab kena langgar dengan kereta. Yang sedihnya kena langgar depan rumah gua, dan orang yang langgar tu sikit pun tak menunjukkan rasa bersalah. Gua bukan main mengamuk lagi masa tu. Tapi yerlah yang dah pergi tetaplah pergi walau gua gantikan dengan nyawa pemandu kereta yang melanggarnya tadi. Antara kawan-kawan gua yang sempat jumpa kucing gua yang satu ni ialah Syik Samad dan makwe gua sendiri. Itu pun kalau dia orang ingat la.

Gua kalau dah bercerita pasal kucing, memang macam ni lah, payah nak berhenti. Sebelum gua lagi merapek, rasanya elok gua berhenti kat sini dulu. Ada orang kata gua comel macam kucing. Entah betul entahkan tidak...

Ok, fine. Gua memang suka buat entri panjang-panjang. nasip kau la!



Sekian terima kasih.

Thursday, April 28, 2011

Naluri.

Cinta itu naluri.

Kerana itu walau setinggi mana pun kita belajar dan sebanyak mana pun ijazah yang kita simpan, tetap tidak dapat membantu kita setiap kali berhadapan dengan masalah dalam bercinta.

Cinta itu naluri.

Kerana itu kita sentiasa kenyang bila setiap kali kita ada cinta walaupun hakikatnya dah tiga hari kita tidak makan nasi.

Cinta itu naluri.

Kerana itu kita masih tidak pasti atas dasar apa kita menyintai pasangan kita walaupun mungkin dia seorang penyamun.

Cinta itu naluri.

Kerana itu gua masih tak boleh tidur sampai sekarang kerana asyik memikirkan lu! tak, maksud gua Cik Corona yang dah dekat dua bulan tersadai kat garage rumah kosong sebelah rumah gua...

Tolong bagi gua semangat sikit untuk siapkan Cik Corona!





Wednesday, April 27, 2011

Cerita satu malam.

Gua faham sangat bagaimana seksanya bila terpaksa bertugas pada waktu malam walaupun dah masuk lima tahun berhadapan dengan jadual kerja yang macam ni. Kadang-kadang sampai satu tahap kelopak mata dah tak larat nak bukak walau seinci. Itu belum masuk kes terlelap sampai sejam dua. Lagi parah kalau sampai penyelia terpaksa naik atas dan tolong kejut. Sebenarnya bukan tolong, tapi lebih kepada marah. Orang-orang yang berjiwa kental saja yang sanggup berjaga malam untuk kerja.

Kalau gua tak berjaga malam untuk kerja, lu orang ingat senang-senang HTC, Iphone, Blackberry, Nokia, Tosco, Webber, D700 dapat masuk Malaysia? Gua korbankan waktu tido gua untuk kepentingan orang kaya macam lu orang semua. Lu kena ingat tu!

Ok, sepanjang gua kerja bawak RTG ni, baru sekali penyelia terpaksa naik atas kejut gua. Padahal gua cuma terlelap sejam jer kot. Gua pun tak tau apa pasal malam tu gua terlalu mengantuk. Mungkin masa tu siangnya gua sibuk pulun siapkan kereta kecik. Hajat gua nak lelap mata barang seminit dua, tapi entah kenapa boleh terlajak menjadi sejam. Memang aneh.

Antara punca yang mendorong kepada gejala mengantuk selain siang tak tido adalah kerana tak ada job masuk. Maksud gua tak ada kontena yang nak kena angkat. Jenis duduk atas menunggu dan tak tau nak buat apa. Serba serbi tak kena. Ini faktor paling kerap menjerumus kepada mengantuk. Niat nak lelap mata sikit yang akhirnya terjerumus kepada tido nyenyak. Kalau jenis solid angkat kontena tak berhenti memang susah sikit nak mengantuk.

Lu ingat tido atas RTG ni tak sedap? kadang-kadang gua rasa lagi sedap dari tido kat rumah. Kerusi jenis boleh ejas sampai tegak ngam-ngam boleh baring. Lepas tu air cond pulak memang kuat. Mau mata tak boleh lelap. Sebab tu ada antara kawan-kawan gua yang naik atas ni bawak bekalan untuk kasi mata segar dan mampu bertahan sampai balik.

Antara yang paling popular adalah bahan bacaan. Biasanya surat khabar. Sampai satu tahap kat atas RTG ni penuh dengan cebisan surat khabar yang dah dikirai-kirai. Kalau dah tak boleh tahan sangat dan rasa bosan yang melampau, cebisan surat khabar yang dah hancur pun gua kutip-kutip dan baca sampai habis. Kadang-kadang gua bawa juga buku-buku kereta, zine, novel dan sekarang ni gua tengah semangat bawak note book.

Benda paling penting untuk kasi mata bertahan segar dan mengubat sedikit kebosanan sebenarnya pada gua adalah radio dan telefon bimbit. Benda ni kalau tak ada alamat memang boleh jadi gila juga la. Kalau ada radio sekurang-kurangnya boleh juga layan lagu tengah-tengah malam macam ni. Nak harapkan telefon bimbit sangat pun tak boleh. Bukan semua orang sanggup temankan kita bersms sampai kesubuh. Itu pun bertuah kalau ada yang sanggup nak temankan sampai jam dua pagi.

Kadang-kadang memang tak ada langsung. Tengoklah skrin telefon bimbit tu sampai empat jam. Memang tak ada satu pun sms masuk. Yerlah, gua faham, kebanyakkan orang kerja pada waktu siang dan tidur pada waktu malam. Kalau dah asyik nak temankan gua bersms sampai kesubuh, bila masa pula dia nak tidur. Bagi yang bijak mengambil peluang, pasti akan suruh gua tolong kejut untuk bangun pagi. Serius, kalau siapa-siapa nak mintak tolong kejut time gua kerja malam memang tak ada masalah.

Yerlah, gua balik kerja, lu orang pulak baru bangun nak pergi kerja. Setakat nak mintak tolong kejut pukul lima? enam? tujuh? memang tak ada masalah. Silalah...

Bahaya sebenarnya kerja dalam keadaan mengantuk ni. Kalau setakat kerja dalam pejabat kalau mata mengantuk risiko tak adalah tinggi mana. paling-paling pun kepala terlungkup atas meja. Paling bangsat pun kalau tertido bos marah-marah dan suruh pergi cuci muka. Tak ada mananya sampai menyebabkan kematian.

Kalau kerja macam gua ni, bila mata mengantuk lepas tu terlelap, silap hari bulan berlonggok kontena tumbang. Kalau tak hempap orang kira masih boleh settel lagi. Kalau dah melibatkan nyawa? Hukumannya sama jer macam lu bunuh orang juga. Buang kerja itu dah semestinya.

Ada juga yang pesen bawak naik makanan banyak-banyak nak kasi hilang ngantuk. Stail yang ni kena banyak pakai duit sikit la. Makanan ringan kat port ni bukannya murah macam kat luar. Gua kalau ada rezeki lebih pun paling mampu beli roti jerlah. Kalau dulu memang gua pulun rokok. Kalau nak jimat sikit gua bawak gula-gula dan air kotak dari rumah. Pun sebenarnya bukan membantu sangat. Kalau dah mengantuk, kasi makan apa pun kat atas ni tetaplah mengantuk juga.

Kalau nak ikutkan, kerja malamlah sebenarnya banyak menyebabkan berat badan naik. Selera malam ni lain macam sikit pergi dia. Kalau boleh sepanjang masa ada rasa nak mengunyah saja. Pantang ada duit lebih mesti ada rasa nak makan. Sebab tu berat badan gua sekarang ni dah naik dari limpa puluh lima kilogram kepada enam puluh kilogram. Tapi kira balance juga la, makan banyak lepas tu angkat kontena yang berat lebih dari dua puluh tan. Tenaga yang ada memang digunakan sepenuhnya. Masalah obeseti ni memang tak wujud kat port. Nasib baiklah kerajaan tak bercadang nak mengempur pejaja jajan kat area port ni. Kalau tak mesti budak-budak sini dah buat mogok.

Sebab tu kalau ada peluang tido, gua akan gunakan sebaiknya. Pantang tak ada job masuk, atau dapat standby, memang confirm gua akan gunakan untuk tido. Tak. Sebenarnya masa gua tengah siapkan entri ni pun entah dah berapa kali gua terlelap sebab tak ada job. Sekarang gua perlu berkemas untuk balik rumah. Malam nanti nak berjuang lagi.

Kalau lu rajin dan ada masa, bolehlah temankan gua kerja malam nanti yer. Ok, sekian terima kasih.


Obeseti dan telefon bimbit.

Gua tak heran sangat sebenarnya hal obeseti di kalangan pelajar yang kerajaan sibuk-sibuk cerita sekarang ni. Scene makan jajan ni dah berakar umbi sejak dari gua belum pergi sekolah lagi. Ini semua pun berpunca dari kerajaan juga yang bagi lesen pada kilang jajan dan pengimport jajan. Kalau tak diberi lesen tak ada mananya scene jajan nak meluas kat Malaysia ni.

Gua hidup dengan nasi lemak dan burger sejak dari kecik lagi. Tapi tak ada pula masalah dengan obeseti. Masa zaman gua kuat dulu, gua pernah makan lapan bungkus nasi lemak sekali gus. Dan sampai sekarang pun berat badan gua masih maintain lima puluh lima kilogram. Tak ada masalah pun?

Lu ingat Farid Awaluddin tu dalam kategori obeseti ker? Dia bukan jenis pemakan jajan, tapi memiliki tubuh badan yang besar dan berat melebihi seratus kilogram. Gua tengok dia sihat jer. tak pernah semput pun naik tangga rumah pangsa empat belas tingkat.

Yang gua hairan sekarang ni adalah scene di kalangan budak sekolah sebenarnya adalah hal-hal penggunaan telefon bimbit diluar kawalan. Gua perasan budak-budak sekolah sekarang ni ramai yang pakai henpon mahal serba canggih. Iphone, Blackberry, HTC, Nokia dan apa kejadah lagi. Gua memang tak reti nak sebut sebab gua tak berapa into scene henpon sangat.

Gua hairan, mana dia orang dapat dan kumpul duit untuk beli benda-benda canggih ni. Satu hari berapa ringgit mak bapak dia orang kasi duit belanja sampai boleh beli henpon canggih? Gua sampai tingkatan lima pun mak gua masih kasi duit belanja sehari dua ringgit saja.

Gua yang dah melalui scene kerja selama hampir separuh usia ni pun masih belum mampu nak beli henpon canggih. Pakai saja mana yang ada. Yang ada ni pun dah berusia tiga tahun dan skrinnya pun dah hampir pecah. Walaupun nampak macam dah rosak, tapi kalau setakat nak buat panggilan atau bersms memang tak ada masalah. Kredit memang sentiasa ada. Gua bukan pesen pakai henpon mahal tapi kredit madang kering.

Gua rasa soal duit belanja dikalangan pelajar ni yang patut gua risaukan. Sekolah-sekolah pun dah pegang duit banyak. Mana tak beli benda yang bukan-bukan. Sekolah-sekolah dah pakai D700. Sekolah-sekolah dah pakai kereta.

Elok gua rasa biar budak sekolah jer yang jadi mangsa ragut dari makcik mengandung yang duit cukup-cukup nak menabung buat masa depan anak dalam kandungan.




Tuesday, April 26, 2011

Artis

Serius gua cakap, orang gila jer yang jadikan artis sebagai idola. Lagi-lagi kalau artis Malaysia. Gua rasa lebih ramai yang bengap dari yang bijak. Lebih ramai yang boneka dari berakal.

Yang sorang beria nak hasilkan buku nak mengajar orang bagaimana nak menjadi artis, dan yang sorang pula beria balajar ilmu agama setiap hari hanya semata nak mendalami watak dalam lakonan.

Setakat ni gua masih belum jumpa lagi bahagian mana baiknya jadi artis dunia arus perdana ni. Selain dari memperdagangkan tubuh dan kecantikkan muka. Otak banyak simpan dalam bakul sampah.



Pagi-pagi dah buat gua marah tak tentu hala...

Saturday, April 23, 2011

Simpul biawak.

Lu tau tak macam mana seksanya kalau tengah sedap tido tiba-tiba betis kena simpul biawak? 
Lu tau macam mana dia punya pedih sampai lu meraung-raung dalam bilik dan kemudian tak ada orang datang membantu?
Lu tau apa itu simpul biawak?
Lu tau apa sebab boleh jadi simpul biawak?
Lu tau tak macam mana seksanya kalau time makwe mintak putus, time tu juga lu kena simpul biawak?
Lu tau tak?

Ok. Memang ngam! Entah apa nasib, malam tadi masa tido kaki kanan gua boleh kena simpul biawak. Kena pulak bila gua mandai-mandai cuba repair. Sekali boleh jadi makin teruk. Gua tak boleh tahan akhirnya gua meraung sekuat hati. Nasib baik rumah gua tak ada orang. Macam nak menangis pun ada juga sebenarnya. Putus dengan makwe pun tak sakit macam kena simpul biawak.

Eh, simpul biawak ni dari yang gua tau selalu kena pada pemain bola sepak. Gua ni pemain bola sepak ke? Kalau bukan, apasal gua boleh terkena? Ahh, orang-orang aktif sukan memang biasa kena simpul biawak sebenarnya. Macam gua ni la...

Tapi bila gua fikir balik, lagi elok gua kena simpul biawak dari gua mimpi yang bukan-bukan sampai buat gua tak ada mood...

Mimpi semalam dan kenyataan sebentar tadi.

Beberapa bulan lepas semasa gua terlelap sebentar kat surau tempat kerja, gua termimpi makwe lama gua meninggal dunia semasa hendak melahirkan anak. Mimpi ini memang betul-betul buat gua kaget dan terus tersedar dari tidur. Dan beberapa hari selepas itu gua terima berita yang kakak makwe lama gua baru sahaja selamat melahirkan anak kedua. Alhamdulilah...

Dan semalam gua bermimpi berbual-bual pula dengan makwe lama gua sambil mendukung anaknya yang kedua. Dan baru sebentar tadi gua terima berita secara live dari seorang teman yang mengatakan makwe lama gua baru beberapa hari selamat melahirkan anak yang pertama. Kalau tak silap dengan nama Ahmad Dhani. Alhamdulilah juga...

Bukankah mimpi itu selalunya bersifat terbalik? bukankan bagi kebanyakkan orang sering mengatakan bahawa mimpi itu mainan tidur dan gangguan syaitan?

Ok, dalam masa beberapa jam ni memang banyak betul kejutan di luar jangkaan dan hal-hal yang buat gua rasa agak kurang senang. Walaupun orang kata mimpi itu hanya sekadar mainan tidur atau mungkin juga mainan syaitan tapi bila merujuk pada situasi gua lapan puluh persen apa yang gua mimpi biasanya memang ada bersangkut paut dengan hidup dan orang sekeliling gua. Hal ini memang kerap kali berlaku.

Perasaan gua sekarang ni agak kelam kabut sikit. Gua pun tak tau kenapa. Gua dah buat yang terbaik untuk kasi lupa hal-hal lama, tapi kadang-kadang ada satu spirit yang datang entah dari mana kasi gua ingat balik benda-benda lama. Gua memang tak suka. Gua memang dah sebaik mungkin untuk tidak mengambil tahu apa pun yang berlaku pada makwe lama gua. Tapi mungkin tuhan masih tidak membenarkannya. Tuhan nak gua selalu atau sekurang-kurangnya masih mengambil tahu akan perkembangannya. Walaupun tidak secara langsung. Macam mimpi-mimpi gua tadi. Petanda apakah sebenarnya yang berlaku dalam hidup gua selama lima tahun yang mendatang ini?

Lu tengok sekarang ni jam dah pukul berapa?

Gua tengah berfikir ni sebenarnya dari tadi...




Alasan

Masa gua tengah serabut dan kusut masai dulu, mak gua pernah berpesan.

Dia kata kalau orang tengah sibuk, jangan diganggu, jangan ditegur, jangan disapa dan jangan dilayan. Biarkan dia siapkan kerja-kerja dia.

Mak gua pesan lagi...

Sampai satu masa nanti, bila semua kerja dia dah siap pasti dia akan cari kau nanti. Tapi kalau dia tak cari itu maknanya kesibukkan dia tadi hanyalah jalan terakhir untuk mengatakan tidak kepada kau. Itu maknanya dia akan pergi jauh dari kau.

Dia sambung lagi...

Bila kau berhadapan dengan masalah kesibukkan macam ni, hendaklah kau bersedia dengan beberapa kemungkinan yang mungkin akan membuat kau kecewa.

Dan akhirnya memang masalah kesibukkan yang merupakan alasan terakhir tadi rupa-rupanya benar-benar sangat mengecewakan gua.

Biasanya orang akan menggunakan alasan kesibukkan untuk lari dari seseorang. Gua sangat ingat akan pesan mak gua yang satu ini dan gua sentiasa berwaspada dengan mereka-mereka yang menggunakan alasan kesibukkan dalam kehidupan seharian. Dan gua juga sangat fobia sebenarnya dengan alasan kesibukkan.

Sebenarnya alasan menunggu hingga seseorang itu tidak sibuk pasti akan membawa kepada sindrom tak sedap hati. 

'Orang sibuk kita jangan ganggu, bila dia dah free nanti dia akan cari kita.'

Tapi sebenarnya penantian kita untuk melihat dia 'free' itu sebenarnya hanyalah satu permainan. Lu diam, maknanya memang sampai kesudah pun dia akan diam. Dan bila lu diam, itu bermakna dia sudah bebas dari diganggu oleh lu. Secara tidak langsung sebenarnya dia ingin membuang lu dari kotak fikiran dan hidupnya.

Ini sangat sinonim dengan kebanyakkan masalah orang yang jadikan kesibukkan sebagai alasan.

Lu orang ingat gua tak sibuk?
Lu orang ingat gua tak ada kerja yang perlu gua siapkan?
Lu ingat hidup gua, kerja gua tak ada date line?
Lu ingat gua selalu lapang?
Lu ingat gua tak pernah ingat kat lu?
Lu ingat gua halimunan?

Walaupun kadang-kadang kesibukkan gua ada pada tahap melampau, gua tetap juga ada masa untuk orang-orang yang gua suka, gua sayang. Gua tetap juga ada masa untuk orang-orang yang menegur dan menyapa gua. Gua antara individu yang tidak yakin untuk menggunakan kesibukkan sebagai alasan yang paling kukuh.

Kalau betul gua selalu berlapang masa, gua mohon pada tuhan agar memberikan gua masa yang terlalu sedikit untuk kepentingan duniawi dan orang-orang sekeliling gua agar dunia dan orang sekeliling bisa menghargai kesibukkan gua dan juga teguran gua.

Sekian terima kasih.


Friday, April 22, 2011

Internet dan makwe



Internet tak pernah menjanjikan ketenagan dan kebahagiaan.

Dah dekat dua jam gua mengadap internet. Tapi hati tetap juga tidak tenang...

Tak, sebenarnya gua nak cakap, internet tanpa makwe pun tak guna juga. Facebook tanpa makwe pun tak guna juga. Blog tanpa makwe pun tak guna juga.

Kesimpulannya internet tak berguna sangat bagi gua buat masa ni.


.....


Elok gua ambil air sembahyang dan pekena Duha dulu.

K.L.M.J

Gua tak suka sebenarnya benda ni. Tapi kadang-kadang dia datang sendiri. Gua tak pernah minta untuk jadi bergini. Gua tak pernah jemput dia untuk datang. Walau sekali!

Bila keadaan sudah menjadi tenang, dan gua pun dah lupa dengan peristiwa, nanti dia datang lagi. Gua bukan lembik sangat nak berhadapan dengan benda-benda macam ni. Tapi benda-benda ni dan kedatangannya kadang-kadang boleh membuatkan mood gua jadi tak berapa cantik. Bila mood dah tak cantik, nak buat apa kerja pun jadi tak sedap.

Dan semalam dia datang lagi. Untuk kali ke berapa pun gua tak pasti. Mungkin juga syaitan berusaha untuk melemahkan semangat gua untuk terus melupakan kenangan-kenangan lama. Kerana syaitan tahun yang kelemahan gua terletak pada kenangan lama.

Benda ni seolah-olah dia tidak rela gua terus melupakannya. Gua tak pasti samada dia pun rasa seperti apa yang gua rasa ketika ini. Walaupun sudah hampir lima tahun berlalu. Tapi benda ni kadang-kadang masih juga menghantui fikiran gua. Maksud gua kadang-kadang. Kalau selalu, dah lama gua jadi gila.

Ada satu masa gua berfikir dalam-dalam. Apa benda yang terjadi sebenarnya pada gua? apa hikmah di sebalik kejadian? entah. Kadang-kadang macam-macam sampai gua dah tak mampu nak berfikir lagi. Gua switch off dan gua masuk tidur. Atau kadang-kadang gua layan perasaan dengan makan nasi.

Semalam dia datang lagi dalam tidur gua bersama dua orang anaknya dan juga suami tersayang. Ohhh, gila apa semua ni. Yang paling tak sedap, dia datang dalam suasana kenduri kahwin. Gua sempat berbual-bual dengannya. Tapi sumpah gua tak ingat apa benda yang gua borakkan.

Gua anggap saja ini semua kerja syaitan yang cuba nak melemahkan semangat gua.

Dan bila gua sedar dari tidur, semua orang tak ada di rumah dan ini bermakna gua terpaksa duduk di rumah lagi sepanjang hari kerana ketiadaan alat pengangkutan untur keluar merayap. Secara otomatik mood gua terus berubah menjadi KLMJ. Entah apa yang gua KLMJkan pun gua tak tau...




Monday, April 18, 2011

Heran.

Gua heran. 

Dalam banyak-banyak perempuan, kenapa bini orang juga yang kata gua hensem. Kenapa bukan makwe single yang kata gua hensem. Kalau tunangan orang pun gua tak kisah sangat. Kalau janda sekali pun mungkin gua masih ada peluang.

Kenapa mesti bini orang?


Oh ya, mak gua yang merangkap bini bapak gua pun selalu kata gua hensem.

Oh, mungkin gua hanya tidak hensem di mata makwe yang single. Patut la...

Aneh kan?

Ok, terima kasih kerana kata gua hensem.

Saturday, April 16, 2011

Kuat

Ok. Jam dah pun menunjukkan pukul enam pagi. Dan azan subuh pun baru sahaja berkumandang. Gua pula masih tak tidur lagi. Entah kenapa mata gua hari ni cergas tidak seperti biasa. Mungkin sebab siang tadi dah puas seharian tidur atas sofa empuk di selimuti hujan lebat.

Yang tak ok sekarang ini ialah bila gua terpaksa dan baru sahaja selesai menyelamatkan nyawa seekor hamster comel dari menjadi gurauan kasar sang kucing yang bernama Senyum.

Gua pun tak pasti macam mana hamster yang satu, yang tunggal, yang comel dalam rumah ini boleh terlepas dari sangkar. Bila gua sedar Senyum sedang mengonggong dan ada adegan kejar mengejar.

Mula-mula gua ingat mungkin dah tak ada harapan untuk hamster tu terus hidup bila melihat separuh badan dah masuk dalam mulut Senyum. Lagi pula bila kucing gua tu langsung tak ada niat nak lepaskan dari mulut dia walaupun dah dua tiga kali juga gua tepuk kepala dia. Jadi gua pun biarkan dengan meletakkan situasi itu sebagai rezeki dan habuan Senyum untuk hari ini. Tapi bukan rezeki gua untuk memelihara hamster.

Selang beberapa minit gua tengok berlaku lagi adegan kejar mengejar. Gua yakin yang hamster gua masih mampu bertahan hidup. Sebab tu dia masih boleh berlari. Dengan pantas gua pun pergi selamatkan dia dari jadi mangsa permainan kucing.

Anehnya dalam misi menyelamatkan diri pun hamster ni masih sempat makan kacang bila gua perasan masa dia sembunyi bawah peti sejuk tadi. Kuat betul semangat hamster yang satu ni. Bila gua dapat tangkap gua tengok Alhamdulilah tak ada sebarang pendarahan pun. Maknanya kucing gua tadi memang tak ada niat langsung nak jadikan hamster sebagai santapan subuh. Tapi lebih kepada teman bermain dan bergurau.

Kucing, kalau dia betul-betul nak makan, dia akan gunakan kuasa kuku dan taring.

Benda-benda macam ni la yang menyebabkan gua semakin bersemangat untuk memastikan hamster ini terus hidup. Gua masukkan semula dalam sangkar dan sekaligus gua beri nama hamster ni sebagai Kuat. 

Siang nanti gua akan pergi ke pet shop dan pastikan yang Kuat tidak akan keseorangan lagi di dalam sangkar. Gua nak carikan dia kawan!

Ok. Misi dah selesai dan gua nak bersubuh sekejap.

Tenaga dan sumber telefon

Gua ada beberapa soalan untuk dikongsi. Jawapannya mungkin berguna untuk masa depan gua nanti. Soalannya :

Tenaga apakah yang perlu digunakan untuk meminta nombor telefon makwe?

A. Tenaga Solar
B. Tenaga Nasional Berhad
C. Tenaga Nuklear
D. Tenaga dan kekuatan dalaman.

Sumpah! sampai sekarang pun gua masih tak dapat lagi jawapan bagi soalan ini. Walaupun gua dah masuk lelaki kategori awal 20an, tapi gua masih belum ada kekuatan untuk tegur dan mintak nombor telefon makwe secara direct action.

Soalan gua lagi :

Adakah tindakan dan perlakuan gua ini menjerumus kepada dayus atau penakut atau pemalu atau kurang bertenaga?

Jadi, apakah tindakan dan kekuatan yang gua perlukan untuk tidak menjerumus kepada tindakan dan perlakuan gua tadi?

Bagaimana pula pandangan seorang makwe apabila dihampiri atau ditegur oleh seorang lelaki lantas meminta nombor telefonnya?

Ada sesetengah kes, sudah berurusan secara langsung pun tetapi masih belum punya kekuatan untuk meminta nombor telefon. Ini mungkin kes yang lebih teruk.

Tidakkah seorang makwe itu akan menganggap seorang lelaki yang meminta nombor telefonnya itu sebagai gatal? miang? mengada-ngada? atau sebagainya.

Atau mungkin lebih selesa saat ini gua meminta alamat rumahnya sahaja? alamat email? facebook? blog?

Rasanya kalau alamat rumah mungkin lebih mudah dan berani bagi gua.

Ahhh, gua pening dengan soalan-soalan yang selalu bermain dalam kotak fikiran gua tentang makwe. Mungkin gua harus melanjutkan pelajaran ke tahap PHD atau Master untuk mendalami ilmu ke'makwe'an.

Masalahnya, pusat pengajian mana sekarang ni yang ada sediakan kos yang berkaitan dengan masalah gua ni?

Gua dah pening. Kalau lu terer tolong bagi jawapan bagi soalan-soalan gua tadi. Elok gua sapu sampah sekejap.






Friday, April 15, 2011

Terapi bagi give up.

Gua ajak sekali jer. Cukup. Dan gua tak akan ajak lagi sampai bila-bila. Kadang-kadang give up dalam sesetengah kes memang ada baiknya.

Harapan ni sifatnya kadang-kadang menyakitkan. Lebih pedih dari tercucuk paku kat kaki sendiri.

Jadi gua rasa ada baiknya gua give up, masuk gear reverse atau buat pusingan U, tekan minyak sampai cecah lantai dan terus berlalu pergi. Lagi gua tunggu lama-lama kat sini lagi sakit hati. Bukan ada tow truck nak datang membantu pun.

Give up sebenarnya bukan sifat orang penakut, tapi sebaliknya sifat orang yang sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan. Sifat yang lebih bersifat selamat. Amatur kadang kala lebih baik dari professional yang terlalu berani sehingga terlupa pada risiko.

Berani macam mana pun, kadang kala kita perlu beringat yang hidup ini sentiasa berkemungkinan. Apa pun boleh berlaku dan berubah dalam sekelip mata..

Gua betul-betul give up! dan gua perlukan terapi.




Terapi pertama bagi makan Corn Snake.


Terapi kedua bagi makan sang bedal.


Satu yang gua tak pernah give up adalah hal-hal yang berkaitan dengan haiwan. Walaupun haiwan tidak mempunyai akal, gua yakin mereka tidak akan mengecewakan gua walau apa pun yang terjadi....

Cik Corona

Gua sebenarnya tengah cari spirit untuk siapkan Cik Corona untuk OMG tahun ni. Tu pasal gua post sikit gambar-gambar kenangan gua bersama Cik Corona. Ini semua gambar lima belas tahun dulu. Sekarang Cik Corona dah tak macam dalam gambar ni.

Sekarang ni Cik Corona tengah berehat dalam garage sebab menghadapai beberapa masalah pada bahagian enjen, aksesori dan sedikit handling. Gua harap dalam minggu depan gua dapat bawak Cik Corona masuk bengkel bagi menyelesaikan semua masalah yang berkaitan.

Masalahnya sekarang ni hampir semua bengkel yang dikendalikan oleh kawan-kawan tengah sibuk. Masing-masing sibuk nak siapkan kereta untuk OMG tahun ni. Gua sebenarnya tak berapa yakin sangat nak hantar Cik Corona masuk bengkel sebarangan. Lain pula jadinya nanti.

Cik Corona bukan pesen yang mementingkan kecantikan luaran sahaja. Nadi pengerak pun kena ambil perhatian juga. Cantik diluar tapi tak bertenaga pun tak guna juga. Bertenaga tapi luaran tak sedap mata memandang pun tak syok juga nak bawak. Jadi kedua-dua aspek ni gua kena ambil berat juga. Baru semangat nak memandu dia lain macam sikit.



Stereng dan knob gear tu benda KLMJ!


Kali pertama dapat tempat pertama keseluruhan kategori Ol Skool Keh keh keh


OMG Mersing tahun 1979. Cari gua kalau terrer!


Kat depan Hotel Seri Malaysia. Masa ni baru lepas mengelap Cik Corona. Biar gua tak mandi asalkan Cik Corona mandi dulu.


Nadi yang dah lebih dari 30 tahun. Legasinya masih bertahan sampai sekarang. Tapi dah jadi 3SGTE / 3SGE Beams. Antara kereta yang pakai legasi enjen ni ialah Alteza dan Caldina yang orang kaya pakai tu.


Ni masa auto show kat Australia dulu. Putih dan suci.


Walaupun Cik Corona masih belum pakai rim kecik yang mangkuk-mangkuk ala-ala bosozoku, tapi kalau dah pakai twin mikuni ni, pada gua dah kira king juga la.



Diam tak diam dah masuk tiga puluh tahun juga umur Cik Corona ni. Dah hampir sebaya dengan gua. Dan dua-dua pun masih bujang. Kalau lumrah alam membolehkan gua nikah dengan Cik Corona, memang dah lama gua buat.

Cik Corona banyak simpan KLMJ juga sebenarnya. Mau taknya, dah lebih dari dua puluh tahun dia hidup bersama gua dan keluarga gua. Segala apa yang ada pada Cik Corona semuanya ada cerita yang tersendiri. Dari tempat duduk, stereng, rim sukan, knob gear, nombor pendaftaran, ekjos, warna dan banyak lagi la.

Ada sorang makwe jer yang pernah merasa memandu Cik Corona. Stereng berat dan clutch keras katanya.

Lepas tu sampai sekarang tak ada makwe yang pernah cuba bawak lagi. Duduk sebelah pun tak pernah ada dah. Gua ingat lepas siap Cik Corona fasa dua nanti, gua kena cari co-driver untuk Cik Corona agar dia tak rasa sunyi. Sekurang-kurangnya ada yang tolong jaga makan dan pakai dia.

Cik Corona bukan macam kebanyakkan kereta yang ada di jalan raya. Penjagaannya terlalu cerewet. Dari aspek pemakanan, pakaian, tempat tinggal semuanya kena bersih. Pantang Cik Corona kalau ada orang tinggalkan kesan jari pada badan dan cerminnya. Walaupun dalam kategori cerewet, tapi sebenarnya Cik Corona jauh lebih lasak dari kebanyakkan kereta moden yang ada atas jalan raya sekarang ni.

Cik Corona juga pantang dari kena hujan dan air lecak. Senang cerita kalau hujan atau jalan raya basah lepas hujan, jangan la cari pasal nak ajak Cik Corona keluar bersiar-siar. Pantang! melainkan kalau masa keluar cerah, kemudian baru hujan turun. Itu memang dah tak boleh nak buat apa la.

Seperkara lagi, Cik Corona bukan alat pengangkutan! itu kena ambil perhatian. Bukan kereta yang suka-suka digunakan untuk angkat lemari, peti ais, gerai burger dan sebagainya. Cik Corona adalah hobi. Hanya di gunakan pada masa dan untuk tujuan tertentu sahaja. Iaitu aktiviti santai dan plesing.

Walaupun Cik Corona ni dah berumur, tapi jangan main-main dengan dia. Setakat kalau pakai Vtec standard atau Campro 1.8 atau 1.6 memang dia masih boleh makan lagi. Tak percaya? ok, mari kita cuba wangan!

Tapi oleh kerana sekarang ni dia tengah sakit, jadi gua simpan dulu hasrat tu. Kalau semuanya dah ok nanti gua kasi tau.

Tapi tolong ya, Cik Corona bukan jenis yang suka berpeleseran tak tentu hala seperti kebanyakkan budak-budak Vtec JB. Cik Corona lebih banyak habiskan masanya di rumah sahaja. Dua bulan atau tiga bulan sekali baru dia keluar rumah untuk bersiar-siar. 

Kalau ada sesiapa yang berminat untuk bergambar dengan Cik Corona, bertukar pendapat, spare parts atau apa sahaja yang berkaitan, dengan senang hati bolehlah menghubungi gua.





Thursday, April 14, 2011

Antara anak dan kucing

Penat semalaman berkerja terubat bila sampai rumah dapat bergurau dan peluk kucing. Ini memang aktiviti sihat. Mak gua kata bela haiwan boleh di jadikan terapi. Terapi minda dan badan.

Memang betul pun. Setiap kali gua peluk, gua belai dan  bergurau dengan kucing-kucing ni macam ada satu perasaan seronok dan tenang. Otomatik penat satu badan jadi hilang. Padahal malam tadi bekerja keras angkat beratus-ratus biji kontena.

Rasa mengantuk pun otomatik jadi hilang juga.

Khayal bergurau dengan kucing sampai gua lupa mandi, makan, tengok tivi, balas sms dan tidur.

Sebenarnya kalau, dapat tengok kucing bergurau sesama sendiri pun dah rasa seronok. Tengok dia lari dari dapur sampai ke ruang tamu, berguling-guling depan tivi, melompat, panjat langsir, selerakkan buku. Lagi kronik sampai pecahkan pasu bunga.

Anehnya mak gua tak marah. Tapi selalu bebel-bebel jer.


..........


Ok, sebenarnya gua nak kata, kalau balik kerja penat-penat lepas tu dapat peluk, bergurau dan dengar suara anak mesti lagi seronok. Mungkin lebih seronok dari peluk kucing. 

Seronok bila dengar anak jerit-jerit panggil kita. "Ayah balik, ayah balik..."

Kalaulah anak ada jual kat kedai, memang dah lama gua beli. Tolonglah jangan perli-perli, gua bukan tak nak kahwin, sampai masa nanti gua kahwin la...

Sabar ok! tengah mencari la ni!



Wednesday, April 13, 2011

Anak.

Masa gua tengah konsentrate basuh motor tadi, tiba-tiba gua terfikir. Benda ni datang spontan masa gua tengah gosok lidi rim dengan berus sabut. 

Gua terfikir, sampai berkerut dahi... 

Kalau gua ada anak nanti gua nak bagi anak gua nama apa? Kalau perempuan nama apa?kalau lelaki pulak nama apa?

Lama juga gua terfikir sampai kerja mengosok lidi terhenti.

Sampai sekarang masa gua baring-baring depan tivi pun gua masih terfikir lagi. Tapi masih juga belum ada jawapan. Kalau ikut hati memang banyak sebenarnya. Tapi takut tak sesuai pulak.

Walaupun gua belum ada makwe tapi bab nama-nama anak ni kita kena fikir dari awal sebenarnya. Tak elok buat kerja last minit dan kelam kabut. Kalau gua dah dapat nama anak sekarang, nanti masa bini gua bersalin dah tak payah pening-pening kepala nak fikir.

Hidup perlu merancang. Baru konsisten dan tidak berterabur.

Kah kah kah. Lu ingat gua tak pernah fikir pasal kahwin ker?


Kah kah kah!

Tuesday, April 12, 2011

Entah...

Persahabatan biasanya berakhir dengan percintaan, tetapi percintaan tak pernah berakhir dengan persahabatan.







Itu sahaja gua nak cakap untuk pagi ini. Sekian.

Monday, April 11, 2011

Ohhh My God!



Okey, flyers dah keluar. Gua rasa ini flyers rasmi untuk event Olskool Mega Gathering pada kali ini. Satu apa benda pun gua tak usik lagi untuk event kali ini. Cik Corona pun tengah tersadai lagi dalam garage. Cukai jalan dah mati dan ada sikit-sikt masalah teknikal yang lain.

Masa cuma ada lapan puluh lapan hari jer lagi dari sekarang. Gua pun tak pasti sempat ke tidak nak siapkan Cik Corona. Bajet gua dah la tengah nazak. Kalau tak sempat bawak Cik Corona, nampak gaya gua kena bawak kereta kecik datang event ni.

Ada beberapa benda yang perlu gua ubahsuai pada Cik Corona. Harap kali ni akan menjadi kenyataan. Saingan kat event ni memang sengit. Tapi bukan itu yang gua risaukan. Yang gua risaukan sekarang ni ialah wiper. Kalau masih tak ada wiper lagi untuk event kali ni nampak gaya memang keparit lagilah gua...

Oh ya, mana-mana makwe yang rasa ada kereta lama dan kamera besar gantung kat leher, jangan segan-segan untuk datang event ni. Lagi-lagi yang rasa duduk dekat dengan tempat kejadian. Tak kisahlah kalau kereta penuh dengan karat dan lumut janji masih boleh bergerak, jangan segan-segan nak tunjuk kat kawan-kawan.

Ok, kita jumpa kat sana nanti. Kalau Cik Corona datang harap tak ada orang-orang gatal yang tinggalkan kesan cap jari pada badan Cik Corona nanti.



Sekian terima kasih.