Showing posts with label Review. Show all posts
Showing posts with label Review. Show all posts

Sunday, December 23, 2012

Shock & Awe Nombol Lima.








Baru-baru ni aku ada beli Shock And Awe itu terbaru ni. Kali ni memang fresh aku beli. Baru berapa hari rilis aku terus beli. Benda-benda zine ni kadang-kadang memang cepat aku beli kalau nak dibandingkan dengan benda-benda musick. Sebenarnya aku tak adalah ikut sangat pun perkembangan zine ni. Tapi isu-isu dia yang sebelum ni memang semua aku ada. Satu perkara yang aku suka tentang Shock And Awe ni ialah dari isu pertama sampai yang keempat semuanya kemas dan hampir-hampir kepada pro printed. Dan akhirnya isu yang terkini datang dengan sepenuhnya pro printed. Memang power. Dapat aku rasa scene zine kat Malaysia ni dah semakin power. Lagi-lagi untuk isu yang ke lima ni datang siap dengan piring hitam tujuh inci. Tahukah anda, benda-benda macam ni hanya wujud dalam scene hardcore punk DIY? scene buku-buku indie pun tak pernah buat benda macam ni. Scene hardcore punk dah buat benda ni dari dulu lagi mendahului scene buku indie yang tengah sibuk naik sekarang ni. Kau boleh tengok sendiri pakaging zine ni.

Sepenuhnya dibuat sendiri. Maksud aku dari promosi, duit, pencetakkan pada kover, penulisan dan pengiklanan. Ini yang aku suka tentang DIY. Tak perlu upah orang untuk uruskan promosi, tak perlu dana dari orang perseorangan, tak perlu keluar masuk tivi atau radio untuk urusan promosi. Semuanya bawah tanah dengan formasi solidariti dari kawan-kawan. Power. Benda kalau dah DIY engko jangan risau, tak ada sekatan dalam penulisan, tak perlu ada pantang larang dalam menulis, tak perlu ada garis panduan itu dan ini. Engko sebagai penulis bebas sepenuhnya nak tulis tentang apa, pengunaan ayat yang macam mana dan sebagainya. Pada aku itulah seni yang sebenar-benarnya. Apa ertinya memperjuangkan seni dan budaya DIY tapi masih banyak sekatan dan pantang larang yang perlu dipatuhi? Dimana letaknya kebebasan engko sebagai seorang penulis dan pejuang seni?

Sebenarnya terus terang aku cakap, dapat saja Shock And Awe ni kat tangan aku, macam ada satu semangat suruh aku buat balik Roots Zine. Aku memang jenis cepat cemburu bila tengok zine-zine power timbul dalam scene Malaysia ni. Kalau dia boleh buat, kenapa pulak aku tak boleh buat? sedangkan dulu aku pun pernah buat benda-benda yang sama macam dia orang buat. Aku pun pernah keluarkan Roots dalam pro printed atau hampir-hampir kepada pro printed. Aku ingat seawal Roots isu nombol dua Roots dah guna sepenuhnya komputer editing and grafik. Ceh pakai ayat orang putih pulak. Tengoklah nanti, ada rezeki ada la. Selama ni pun aku tak pernah berhenti dari menulis. Setiap hari menulis. Cuma tak dilempiaskan dalam bentuk zine. Semangat tengah ada ni. Engko tunggu jelah nanti. Aku harap scene zine kat Malaysia ni akan jadi lebih meriah dari tahun ke tahun.

Kalau engko tengok cara produksi Shock And Awe ni, sebenarnya dia lebih kepada untuk market worldwide. Maksud aku dari pengunaan bahasa. Sepenuhnya dalam bahasa inggeris. Layout grafik semua memang sekali tengok memang kita dapat tangkap yang ini zine punk hardcore. Bukan zine yang jenis meleweh-leweh cerita pasal hati dan perasaan pada makwe atau pakwe. Penulisan-penulisan dalam zine ni pun lebih kepada menceritakan sejarah dan kewujudan punk hardcore di Malaysia. Ya, rasanya masyarakat dunia masih ramai yang tak kenal dengan Malaysia. Masih ramai yang tak tahu kat Malaysia ni wujud komuniti punk hardcore yang serius walaupun aku tengok setiap tahun, setiap bulan, setiap minggu ada sahaja band dari oversea perform kat sini. Maksudnya scene punk hardcore kat Malaysia sedang meniti dibibir punk haredcore diluar negara sana.

Penulis-penulis yang terlibat dalam zine ni pun bukan jenis yang biasa-biasa walaupun hakikatnya mereka bukanlah malaikat atau pun dari bangsa jin. Semuanya manusia biasa macam aku, macam engko juga. Bezanya kebanyakkan penulis yang terlibat dalam zine ni orang-orang yang aktif dan ada nama dalam scene punk hardcore tempatan. Orang yang bukan sekadar aktif dengan band, tapi menulis juga. Orang yang bukan setakat bermain gitar dan menyanyi, tetapi sebagai individi yang bertanggungjawab menguruskan distro dan acara-acara gig tempatan. Antara individu dan penulis yang dikenali umum dalam komuniti punk hardcore tempatan ialah Joe Kidd, Shammir, Wan Hazril, Sin Chan, Hatta Nirman, Shaiful Zerox, El Pheng dan ramai lagi. Nama-nama ni je secara tak langsung boleh menarik orang untuk membeli dan membaca zine ni. Nampak tak? pengaruh penulis pun kadang-kadang kuat juga untuk marketing. Memang dia orang ni dari aku kenal sampai sekarang memang jenis kalau menulis semuanya benda yang serius.

Banyak benda aku nak cerita pasal zine ni rupanya. Aku ingat silap hari bulan benda ni dah tak jadi review dah. Penulisan-penulisan dalam zine ni banyak cerita hal-hal yang berlaku disekitar Kuala Lumpur, terutamanya kawasan sekitar Klang. Aku tahu memang scene sebelah sana memang tengah aktif. Setiap minggu ada saja gig di Rumah Api. Aku tak ingat bila kali terakhir aku jejak kaki ke Rumah Api. Kalau tak silap masa tu Hellexist ada main kat sana. Dan pada masa tu Pipi pun ada datang juga. Dan pada masa tu aku tengah rapat dengan Puan Haslina. Dia datang gig tu bawak berdozen-dozen Pizza. Maklumlah dia orang ada pangkat kat KFC Holdings. Lepas tu sampai sekarang aku tak pergi Rumah Api lagi. Tengoklah, kalau ada rezeki dan kelapangan memang teringin sangat nak kesana. Oh ya, berbalik pada Shock And Awe tadi, aku perasan tak ada saru cerita pun tentang perkembangan scene dari Johor Bahru atau Johor amnya. Apa scene punk hardcore kat Johor Bahru ni dah tak wujud ke apa? Ke scene Johor Bahru dah kena boikot dengan budak Kolumpo macam akhir tahun 1999 dulu? entah.

Dah lah, aku rasa aku dah mula nak merapek ni. Secara keseluruhan zine ni memang sedap mata memandang. Boleh dan mesti dibeli, disimpan dan dijadikan koleksi. Tapi satu hal yang kita perlu terima, zine-zine serius macam ni kadang-kadang susah sikit nak diterima oleh masyarakat. Dia orang tak tahu apa-apa sangat pasal cerita punk hardcore tempatan. Dia orang tak tahu apa itu Rumah Api, dia orang tak tahu apa yang aku tahu. Nak hadiahkan zine ni pada makwe pun aku fikir dua tiga kali. Bukannya dibaca nanti. Harganya tak mahal sangat pada aku. RM30 siap dengan piring hitam tujuh inci. Zaman sekarang ni mana ada artis Malaysia nak rakam lagu dalam bentuk piring hitam lagi? tapi punk hardcore masih lagi buat. Itu yang aku suka. Punk hardcore masih lagi unik. Itu yang membezakan punk hardcore dengan masyarakat dan produk-produk mainstream. 

Sementara benda masih ada banyak lagi ni, aku fikir ada baiknya engko cepat-cepatlah beli.



Thursday, December 20, 2012

Tussock - Devastation Of Nuclear Proliferation / Kaset


Grindcore tua dari Muar. 


Grindcore dalam kren. 


Sleeve kaset yang ringkas. Itu grindcore!


Gila. Aku ingat band grindcore dari Muar ni dah mati. Masih hidup lagi rupanya. Itulah kadang-kadang benda yang lama menyepi kita tak boleh konsider dah mati. Takut tiba-tiba dia hidup balik dan aktif. Susah juga. Lama juga sebenarnya hayat band ni. Tolak tambah dah lebih sepuluh tahun juga. Dah wujud dan aktif sejak dari akhir 90 an lagi. Dimana pada masa tu aku masih lagi aktif dengan scene makwe lama. Bukan nak cakap beso, hampir semua anggota kumpulan Tussock ni kenal dengan makwe lama aku. Dan sebenarnya makwe lama aku lebih popular dari band grindcore ini sendiri. Kalau band grindcore ni boleh bangkit dan aktif semula, kenapa tidak aku bangkit dan aktif semula dengan scene makwe lama? kenapa perkara itu tidak berlaku lagi? Aku sendiri pun tak tahu. Yang aku tahu, apa guna main grindcore kalau tak ada makwe lama? kan? Sebenarnya aku pun dah tak berapa ambil tahu sangat pasal band ni. Tapi entah kenapa, bila tiba-tiba terpandang kaset ni masa gig kat di Batu Pahat hari tu, timbul pula rasa ingin tahu. Tapi malangnya aku tak terus beli kaset ni pasal duit memang tengah ngam-ngam masa tu. Kalau aku beli maknanya aku tak dapat nak makan nasik. Ni entah rezeki apa, aku dapat free. Talib Joe yang kasi, pasal kebetulan kaset ni rekod label dia yang riliskan. Kira power jugalah. Jadi bila benda kita dapat percuma, seboleh-bolehnya kita kenalah review sedap-sedap sikit. Kan? Terima kasih ya Talib Joe.

Lagi satu, ramai orang tak tahu. Benda-benda kalau yang berkaitan dengan grindcore ni kalau nak review perut kena pastikan kenyang dan mata kena cerah. Kalau perut lapar kemudian tak cukup tido, memang tak senonoh jadinya nanti. Aku review ni pun pasal perut aku dah kenyang makan sekawah nasik goreng berlauk dan mee goreng dengan telo mata tadi. Lepas makan aku terus tido pulak tadi. Itu yang cerah je mata aku ni sambil angkat kontena. Seronok juga bila lebih banyak tido dari angkat kontena ni kadang-kadang. Engko yang kerja pejabat ada dapat rasa benda-benda tido time kerja macam aku? jangan haraplah...

Sebenarnya Tussock ni bukanlah 100% main grindcore tepu. Tussock ni ada banyak elemen punk dan crust dalam susunan musick mereka. Ada part laju, ada part beat punk. Ada vokal menjerit, ada vokal bernada normal. Musick dia orang tak berapa berat sangatlah pada aku. Sedang-sedang elok. Aku rasa makwe-makwe bertudung labuh pun masih boleh layan musick Tussock ni. Musick dia orang tak jauh beza dengan Tussock di awal kewujudan mereka dulu di mana pada masa tu Accad sebagai vokal. Acad yang aku kenal pernah buat newsletter. Acad yang aku kenal sebagai seorang vokalis band grindcore. Sekarang ni aku sendiri pun dah tak tahu perkembangan Acad. Aku harap Acad masih gemuk seperti dulu. Satu hal yang engko kena tahu, kebanyakkan vokalis band grindcore memang gemuk. Kelakar rasanya kalau main grindcore tapi badan kurus keding. Yang aku ingat last dulu aku pernah ngeteh dengan Acad kat bus stand Muar masa raya tahun 2007 kalau tak silap. Masa tu Wan Nilai pun ada dan baru aku tahu yang dia dah tak main grindcore lagi. Dia ada band main ala-ala Radiohead. Gila jauh juga menyimpang dari grindcore ke Radiohead. Jiwa dan selera manusia ni memang senang betul berubah ya. Jadi line up terkini Tussock ialah Fadzee/Ganga - gitar karen, Akmal - vokal dan grindcore bukan sekadar rupa, Moha - gitar karen dan Bob untuk posisi drum.

Sebenarnya bila aku review band berasal dari Muar ni, teringat pulak kampung halaman aku kat Muar tu. Dah lama rupanya aku tak balik Muar. Sejak atok dan nenek aku meninggal dunia, scene dan keinginan nak selalu balik kampung semakin berkurangan. Kemeriahan dia aku rasa macam dah tak ada. Lagipun pakcik dan makcik aku semua dah tak duduk kampung. Kalau balik pun rasa macam dah tak ada apa. Aku rindu sebenarnya zaman dimana atok dan nenek aku masih aktif dengan kerja-kerja menoreh getah dan menanam padi. Jangan engko tak tahu, area Muar tu dekat-dekat dengan Pagoh memang ada scene tanam-tanam Padi. Benda ni memang tak ada masuk dalam buku Alam Dan Manusia masa sekolah rendah dulu. Aku pun heran. Bila aku cerita dengan kawan-kawan semua tak percaya. Dia orang kata padi hanya ada kat Kedah. Kepala abah dia la. Aku rindu nak mandi parit, tangkap ikan dan ketam, main kat sawah bendang, tangkap burung pipit aji, kemaluan kena gigit tungau dan macam-macam lagi yang berkaitan dengan kampung. Itulah, aku selalu cakap yang grindcore ni sebenarnya berasal dari kampung, tapi engko tak percaya. Jangan mengaku grindcore kalau tak pernah mandi sungai dan kemaluan kena gigit tungau.

Berbalik pada Tussock ni tadi. Macam yang semua orang tahu, budak-budak grindcore ni biasanya lirik dia orang tak lari jauh dari benda-benda yang berkaitan dengan perang, senjata nuklear, keganasan, masalah dalam scene punk, penindasan dan yang seangkatan dengannya. Engko tengoklah, punk pun dari dulu lagi dah aktif nyanyi pasal benda-benda macam ni. Engko yang main K-Pop sampai bila nak nyanyi benda-benda yag merapu meraban pasal nak ngorat makwe? hentikanlah. Budak-budak K-Pop ni pun kebanyakkanya muka tak hensem. Harap bedak je tebal. Hakikatnya kulit tidaklah putih mana pun. Konsume, konsume dan konsume. Itu jelah kerja mereka. Perjuangan K-Pop ni memang sia-sia sebenarnya.

Tak, masalahnya apa benda yang aku review ni? K-Pop ke grindcore? dahlah sebelum aku pergi lebih jauh dan grindcore lagi, aku fikir ada baiknya aku stop kat sini dulu. Kot ada siapa yang jadi tertarik untuk dapatkan kaset ni setelah membaca review dari aku ni, boleh la pandai-pandai cari kaset ni sendiri. Yang pasti benda macam ni memang tak ada jual kat Musick Valley atau Record Tower atau HMV. ( 03 Disember 2012 )


Monday, December 17, 2012

Diari Mat Despatch - Naluri Ayah


Isilah masa lapang engko dengan benda yang berfaedah. Contohnya membaca buku macam brader ni tengah buat. 

Dapatkan segera sementara stok masih ada. Jangan mengaku mat despatch kalo engko tak beli buku ni!


Amboi, diam tak diam dah lama jugak rupanya aku tak buat review buku. Sebenarnya aku memang dah lama tak baca buku. Kalau majalah kereta dan zine memang selalu aku baca. Tapi apa kejadah pulak aku nak review majalah kereta? itulah, aku ingat aku kena aktif balik dengan scene baca buku. Boleh jadi dungu juga sebenarnya kalau dalam setahun tak sampai sepuluh buku kita baca. Patutnya dalam setahun sekurang-kurangnya kita kena baca 365 buah buku. Baru otak kita pintar. Ini tak dua puluh empat jam asyik dengan internet. Facebook, Twiter, blog tak pun Youtube atau Redtube. Memang jahanam! Boleh sakit mata baca benda-benda dalam komputer. Kalau buku ni memang selalu aku bawak naik atas kren. Sambil angkat kontena sambil baca buku. Sambil baca buku sambil korek hidung. Duduk dalam kren ni kadang-kadang boleh jadi gila kalau tak ada kontena yang nak diangkat. Jadi masa yang terluang tu ada elok aku gunakan untuk membaca buku. Kalau aku bawak note book pun, bukannya boleh digunakan untuk online. Tak ada internet! engko tengoklah, intro nak review buku Bahruddin Bekri ni je dah jadi meleweh-leweh. 

Entahlah, bukan nak cakap tinggi. Tapi orang yang namanya ada Din kat belakang ni biasanya memang dijadikan semulajadi power agaknya. Power yang macam mana tu aku tak tahu nak cerita. Tapi aku rasa Tuan Baha ni memang power la. Sejak aku baca Diari Mat Despatch yang pertama dulu aku terus ketagih untuk membaca Diari Mat Despatch yang seterusnya. Dulu aku ingat buku ni tak ada sekuel. Edisi tunggal. Rupanya ada, dan diam tak diam dah lima isu rupanya. Setiap isu ada topik yang dibangkitkan. Untuk isu yang ni Tuan Baha bercerita mengenai naluri seorang ayah. Yelah, Tuan Baha sendiri merupakan seorang ayah kepada seorang puteri. Kalau tak silap, Tuan Baha ni baru ada anak perempuan sorang kot. Agaknyalah. Aku ni walaupun belum berumahtangga, tapi aku rasa aku pun dah layak dapat pangkat ayah. Ayah untuk seekor ular sawa, ular jagung, labah-labah dan beberapa ekor kucing. Aku bukan kenal rapat sangat pun dengan Tuan Baha ni. Jumpa pun tak pernah. Cuma selalu kalau dia update status kat Facebook rajin juga aku like status dia, dan dia pun rajin like status aku. Nak berbalas komen memang jarang-jarang berlaku. Segan sebenarnya nak kenal rapat-rapat dengan penulis-penulis hebat ni. Nak bergurau pun kena ada limit. Mana boleh gurau sebarang macam aku gurau dengan kawan-kawan yang lain. Silap gurau boleh kena unfriend. Bahaya dapat, malu pun dapat.

Apa lah susah sangat nak review buku Tuan Baha ni. Banyak sangat dugaan. Padahal dah lama aku habis baca. Buku ni bukan tebal sangat sampai lima belas hari baru nak habis. Kalau konsentrate baca aku ingat tak sampai satu hari dah boleh habis. Hari-hari aku bawak pergi kerja. Dari sehari ke sehari keluar masuk beg, tapi baru hari ni aku dapat review. Itu pun sekejap-sekejap berhenti. Time nak review, time tulah banyak kontena kena angkat. Geram pulak aku.

Diari Mat Despatch edisi Naluri Ayah ni menceritakan bapak Rayyan yang datang ke Kuala Lumpur dengan alasan konon-konon nak cari kawan lamanya yang bernama Kamal Hassan. Padahal sebenarnya dia rindu pada Rayyan yang mana sepanjang Diari Mat Despatch ni wujud aku rasa tak pernah sekali pun dia balik kampung jenguk mak dan bapak dia kat kampung. Seingat aku la. Itu pasal bapak dia nekad datang ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dan habiskan masa dengan Rayyan. Alasan yang Rayyan sendiri tak sedar adalah konon nak cari kawan lama dia. Selama seminggu juga bapak Rayyan habiskan masa menginap dirumah sewa Rayyan. Nasib baik bos Rayyan, Encik Ghazali kasi Rayyan cuti seminggu sempena kedatangan bapak Rayyan ke Kuala Lumpur. Kesana ke sini Rayyan bawak bapak dia berjalan naik moto dalam menjalani rutin harian. Dari hantar anak jiran pergi mengaji sampailah kepada mengambil perperiksaan untuk menjadi editor sambilan. Sepanjang itu juga bapak Rayyan dikenalkan dengan kawan-kawan Rayyan yang pelik-pelik. Mana yang cakap besar macam Mahmud tu habis kena "basuh" dengan bapak Rayyan. Dari seawal Diari Mat Despatch lagi sebenarnya aku dah tunggu. Bilalah Mahmud ni nak disedarkan dari sikap berlagaknya. Nak harap Rayyan aku rasa sampai edisi ke berapa pun mungkin tak akan menjadi. Datang bapak Rayyan, selesai masalah. Terdiam terus Mahmud. Begitu juga halnya dengan Raden Samson yang suka menipu dengan cerita-cerita hebat rekaannya.

Bapak Rayyan juga telah dikenalkan dengan semua kawan-kawan perempuan Rayyan termasuklah dengan Wan Sharmila sekali. Tapi yang tak bestnya si Citra Indah Qalisha ni pandai pulak jadi budak baik depan bapak Rayyan. Padahal hari-hari pandang rendah dan kutuk-kutuk Rayyan. Aku sebenarnya memang dah lama geram dengan Citra Indah Qalisha ni. Harap muka je lawa, tapi budi bahasa letak kat lutut. Kalau ada depan mata dah lama aku rejam dengan telo pindang. Biar dia sedar sikit. Tapi yang bestnya bapak Rayyan berjaya pulihkan semula semangat Suzy si pemilik kedai makan yang cintanya telah ditolak. Barulah ada keceriaan sikit jalan cerita Suzy ni. Kalau tak nak bercakap pun bukan main susah. Lebih banyak diam dan kerjanya asyik ajak Rayyan teman jalan pusing-pusing Kuala Lumpur tanpa tujuan. Sebenarnya aku teringin sangat nak tengok secara realiti watak-watak perempuan dalam Diari Mat Despatch ni. Terutamanya Wan Sharmila. Entah macam mana rupa bentuk dia orang ni semua. Aku rasa watak Wan Sharmila ni mungkin sesuai dengan Habsah Harun dan Citra Indah Qalisya ni pulak sesuai dengan Erin. Manakala watak Suzy ni pulak mungkin sesuai dengan Shafarina Ramli. Apa yang pasti semua cantik-cantik. Kalau tidak masakan Rayyan yang mewakili watak aku sendiri boleh cepat perasan dengan semua perempuan-perempuan ni.

Buat pertama kalinya dalam Diari Mat Despatch edisi Naluri Ayah ni ada scene gaduh-gaduh dengan budak-budak kongsi gelap. Kumpulan mat despatch bersatu untuk berentap dengan geng kongsi gelap budak sekolah untuk selamatkan bapak Rayyan yang telah ditangkap kerana cuba menyelamatkan seorang budak yang apa aku lupa nama dia. Malas pulak nak selak balik cari apa nama budak sekolah tu. Jangan main-main la dengan mat despatch. Sekali dia orang unite, memang huru hara. Kongsi gelap pun boleh jadi kalah.

Aku rasa macam dah panjang sangat aku review naskah Tuan Baha ni. Tapi pointnya aku masih tak nampak lagi. Melewehnya lebih. Ni kalau Tuan Baha jumpa aku review ni mau boleh mahu besar aku dibuatnya. Aku harap dia tak jumpa dan jangan ada siapa-siapa yang buat kerja tak senonoh pergi post entri ni kat wall dia. Kalau aku dapat tau ada, memang aku tumit muka dia. Yelah, walaupun buku ni nampak macam buku budak-budak kecik, tapi sebenarnya banyak teladan yang kita boleh dapat darinya. Terutamanya hal yang berkaitan dengan kasih sayang ayah kepada seorang anak. Cuma gaya penyampaian dia agak santai dan tidak terlalu berat. Senang nak masuk dalam kepala. Kena pulak dengan jiwa orang muda macam aku ni yang pernah bekerja sebagai mat despatch lebih dari lima tahun. Banyak ayat-ayat power boleh kita jumpa dalam buku ni. Kalau engko jenis main Twitter atau Facebook, engko copy paste dekat wall atau timeline aku jamin mesti dapat banyak like atau retweet. Kalau engko tak percaya cuba engko beli buku ni dan buat.


Friday, December 7, 2012

Vaarallinen - Demo kaset


Artwork yang simple. Rasanya gambar polis tu. 


Kaset punya artwork pun simple. Tampak pakai kertas yang diprint je. 


Lirik dalam bahasa inggeris ada, dalam bahasa Sweden pun ada.


Entah kenapa aku ni jenis yang cepat sangat tertarik dengan kaset. Lagi-lagi kalau demo. Belum dengar lagu, tak tahu apa-apa pasal band dan musick yang dia orang main pun aku dah boleh jadi teruja untuk dapatkan kaset tu. Ini bukan kali pertama. Aku rasa memang sejak dari dulu lagi. Sejak mula-mula aku kenal dengan punk. Entah kenapa aku rasa kaset ni macam unik. Lebih menarik dari cd. Kalau susun banyak-banyak kat dalam bilik nampak macam lawa. Pandangan orang lain aku tak pastilah. Bersusah payah juga aku usaha nak dapatkan demo ni. Kontek kawan sana sini. Akhirnya dapat juga. Aku tak pasti demo ni rilis tahun bila. Dengar cerita label yang riliskan demo ni nak buat cetakkan kedua. Maksudnya demo ni dalam kategori rare jugalah ya. Jadi punk kalau asyik nak kejar benda rare nampak gaya sampai bila pun masalah penindasan, peperangan dan kemiskinan tak akan selesai. Aku tertarik nak dapatkan demo ni pasal dapat tahu sebahagian dari line up band ni main dengan Snaggletooth juga. Mungkin ada persamaan dari segi musick. Tapi jangkaan aku tu memang jauh sekali meleset.

Vaarallinen ni kumpulan punk yang berasal dari Singapura. Singapura yang kita kenali dengan bandar maju dan lebih "bertamadun" dari Malaysia. Bersih, bersistematik, sempit, Sing dollar, tak boleh makan singam, tak ada tempat untuk berlumba haram, tak boleh itu, tak boleh ini. Banyak sangat pantang larang. Singapura yang baru-baru ni kalahkan pasukan bola sepak Malaysia dengan 3 - 0. Padan muka Malaysia. Tapi dalam pada banyak pantang larang tu, ada juga budak-budak punk yang hidup didalamnya. Punk yang berjuang bermati-matian untuk melawan semua sistem yang dirasakan menindas tadi. Entah dia orang ni rimas atau entah dia orang ni selesa. Aku tengok hidup juga budak-budak punk kat Singapura tu walaupun undang-undang negaranya menyesakkan. Sebenarnya dia orang ni selesa hidup sebagai punk dikota yang serba moden seperti Singapura tu. Nak apa pun semua dapat. Rasanya kalau jadi punk kat Malaysia ni hidupnya lebih mencabar sikit. Banyak punk yang betul-betul miskin kat Malaysia ni. Semiskin-miskin punk kat Singapura tu, IPhone juga yang dia orang pakai. Kalau kat Malaysia ni, selagi belum lunyai henpon tu, selagi itulah dia akan pakai. Janji boleh dibuat panggilan dan membalas sms. Mungkin ramai juga yang macam tak percaya Singapura ada budak punk. Aku rasa punk Malaysia dengan punk Singapura banyak dibezakan dengan henpon.

Tak. Ni sebenarnya aku nak cerita apa benda ni? Vaarallinen ni pada aku kumpulan muscik punk yang bijak sekali meniru, menyembah dan mengagungkan kumpulan-kumpulan hardcore punk dari Sweden. Tengok pada nama band pun kita dah dapat agak. Itu baru tengok pada nama band, kalau engko nak tahu, dia orang menyanyi pun dalam bahasa Sweden. Hebat tak hebat dia orang ni meniru. Padahal bukan orang Sweden pun. Entah apa pelik kadang-kadang aku tengok budak-budak punk ni. Sekali dia orang tiru, memang power. Kau ingat senang nak menyanyi dalam bahasa Sweden? engko ingat senang nak menghafal semua itu? Kalau aku tak ada kerja la nak buat semua tu. Sakit kepala tahu? Duduk asia tapi sibuk nak nyanyi dalam bahasa Sweden. Kan jadi susah nak sampaikan mesej. Katanya punk itu berkenaan dengan mesej, bukan sekadar musick. Entahlah.

Dari segi musick memang power. Punk Singapura kalau main apa jenis musick pun memang selalu power. Selalu boleh buat orang Malaysia dan dunia amnya jadi sawan. Memang boleh buat kita khayal melayan adunan musick dari mereka. Tapi itulah, sekadar musick jelah. Engko tak faham apa dia orang nyanyi. Kalau dia orang ni memang datang dari Sweden tu aku tak kisah sangatlah. Tapi mujurlah kat demo dia orang ni ada disertakan dengan lirik sekali yang telah diterjemah kepada bahasa inggeris. Lega sikit rasa. Kurang sikit rasa marah tadi. Kalau tak ada lirik tadi memang terniat juga aku nak campak demo ni dari atas kren ke bawah. Biar hancur berkecai. Itulah, buat kerja review ni kalau perut tengah lapar memang lain macam pergi dia. Asik nak marah-marah je. Okey, aku baru lepas makan nasi ni. Baru dapat tenaga sikit nak sambung buat review demo ni. Dari segi musick dia orang ni gah dan power dengan musick hardcore punk dari Sweden. Raw punk dengan sikit sentuhan d-beat. Ala budak-budak punk kata Swedish hardcore la. Aku nak kasi contoh band tapi nanti takut salah eja pulak. Maklum la nama band Sweden ni pelik dan susah sikit nak eja. Lebih kurang macam Moderat Livid apa benda aku lupa nak eja.

Sebenarnya aku tak kisah sangat benda yang lain tu. Nak meniru ke, nak nyanyi apa jenis bahasa ke, itu kreativiti dia orang. Aku tak ada hal. Tapi bila aku semak-semak lirik dia orang, aku perasan ada satu lagu lirik pasal tak percaya dengan wujudnya tuhan. Benda tu terus buat aku rasa down nak review demo ni. Tak faham betul aku dengan budak-budak yang tak percaya tuhan. Tak kisahlah samada engko punk ke, dangdunt ke, k-pop ke apa jenis sekalipun, yang engko tengok tuhan kat langit tu apa pasal. Engko ingat tuhan duduk kat atas awan? bila hujan lebat habis basah lencun, dan hangus disambar petir? engko tak ada otak untuk belajar dan berfikir? engko yang bijak pandai takkan tak boleh fikir yang setiap kejadian pasti ada yang menciptanya. Benda simple macam gini pun engko tak boleh fikir ada hati nak selesaikan masalah dunia. Engko ingat demo ni boleh jadi dengan sendirinya kalau tak engko yang buat? 

Kadang-kadang aku semangat nak kasi tahu masyarakat yang punk ni benda baik. Benda yang boleh dibuat contoh kepada masyarakat, benda yang lebih power dari scene mat rempit dan ahli politik. Biar masyarakat tengok punk ni senonoh sikit. Dahlah dari dulu masyarakat asyik pandang serong pada budak-budak punk. Tapi bila tiba part punk tak percaya tuhan ni, aku terus kurang konfiden sikit. Itulah, sebenarnya yang membuatkan punk jadi tak senonoh dimata masyarakat adalah datangnya dari punk itu sendiri. Benda ni aku dah cerita banyak kali juga dalam zine dulu. Tapi biasalah, kebanyakkan punk kat Malaysia ni bukan boleh terima sangat. Dikatanya aku ni moralis la, religious la. Ada otak tak reti nak guna dia orang ni. Dia ingat kalau jadi punk semua benda dia boleh dan suka-suka nak langgar dan mula buat aturan alam ikut sesuka hati. Entahlah, aku kalau dah cerita benda-benda serius ni nanti boleh jadi bergaduh pulak. Ni pun aku rasa dah tak macam review. Dah macam celaka pulak jadinya.

Takpelah, sebelum aku pergi lebih merapek, aku rasa ada baiknya aku stop sini dulu. Ada banyak lagi kontena yang aku nak kena angkat. (02 Disember 2012)


Monday, November 19, 2012

Snaggletooth


Beli kaset dapat sekali dengan button 1 inci dan stiker.


Masa mula-mula dapat tahu band ni nak rilis demo, aku dah berkobar-kobar nak beli. Perasaan tak sabar nak memiliki demo ni memang meluap-luap walaupun hakikatnya aku sendiri tak tahu apa-apa pun pasal band dari Singapura ni. Jauh sekali pernah tengok dia orang main gig. Entah kenapa, aku ni memang semulajadi jenis manusia yang agak taksub dengan kaset. Terutamanya demo. Dia punya spirit tu memang lain macam sikit kalau nak dibandingkan dengan format cakera padat. Yerlah, dalam zaman yang serba canggih ni, dah kurang sangat orang yang into kaset. Lagi-lagi kalau ikut scene musick arus perdana. Semua dah ke arah cakera padat. Jadi kaset demo ni agak suram sikit. Lagi jahanam kalau jenis mengaku punk tapi semua main download. Benda baru seminggu dua rilis pun kau dah download. Tak ada spirit nak membeli dan menyimpan dalam kabinet punya punk. Semua stuff jenis simpan dalam bentuk MP3. Jenis punk yang bilik kosong tak ada aksesori, tak ada benda yang boleh dipegang dan tengok. Semua benda nak simpan dalam komputer. Tak minat betul aku dengan gaya punk macam ni. Tak faham aku apa seronoknya layan musick d-beat atau grind core dalam format MP3. Mana nak datang bunyi raw kalau layan kat MP3?

Masa mula dapat tahu Snaggletooth nak rilis demo ni, macam-macam jenis kawan aku kontek. Maksud aku kawan yang ada kena mengena dalam proses distribute demo ni kat Malaysia la. Bukan kawan-kawan kat bengkel kereta tu. Kebanyakkannya aku kontek melalui sms. Yerlah, pada hemat aku, kontek melalui sms lebih cepat dan nampak lebih akrab sikit. Lagi pun alang-alang masih simpan nombol talifon kawan-kawan, kita gunakanlah. Sambil-sambil tu dapat juga bertanya khabar. Aku bukan nak kejar sangat masalah hand numbered demo ni. Dapat nombol berapa pun aku tak kisah walaupun hakikatnya demo ni cuma dicetak sebanyak 100 keping sahaja. Yerlah dengan kata lain demo ni berpotensi untuk menjadi rare. Rare kepala bana. Dah bertahun-tahun jadi punk pun masih sujud pada istilah rare. Pergi jahanam la. Nampak sangat budaya kapitalism masih kukuh wujud dalam scene punk. Lagi aku menyampah jenis aku sms layan tak layan. Apa dia ingat kalau kita dah lama tak pergi gig otomatik kerakyataan kita sebagai punk akan terlucut? kau ingat aku duduk rumah tak ikut perkembangan scene tempatan? kau ingat kalau dah lama tak pergi gig orang akan bertukar jadi batu? wahhh mentang-mentang kau kerja cuti Sabtu dan Ahad, bolehlah tiap-tiap minggu kau pergi gig. Lepas tu declare kawan-kawan yang tak pergi gig dah tak punk. Kepala bana kau. Kau kena ingat, cuti hari Sabtu dan Ahad ni sebenarnya tradisi kapitalism yang kau sibuk nak lawan tu. Punk kalau sepuluh tahun tak pergi gig pun dia tetap punk selagi dia melawan apa yang punk patut lawan. Tapi takpelah, disebabkan kau ni jenis memilih kawan yang masih aktif dalam scene untuk dijadikan kawan, aku pun beli demo ni dengan kawan yang tak sama perangai dengan kau. Lagi senang. Selesai masalah aku.

Tak masalahnya apa benda yang aku cerita ni? nak review ke nak mengumpat ni? ahh nasip kau lah. Jangan percaya sangat apa yang aku cerita kat atas tu. Itu hanya monolog biasa bagi orang macam aku nak cari idea untuk menulis. Bagi yang kurang tahu, Snaggletooth ni berasal dari Singapura. Biasanya kalau band yang datang dari Singapura main memang power-power. Kualiti rekoding dia pun dah tak macam demo sangat. Sempurna. Dah boleh declare EP pun yer juga demo ni. Aku suka dengan konsep demo ni. Simple gila. Tak ada artwork yang merapek-rapek. Tak ada gambar bom, tengkorak atau situasi peperangan seperti kebanyakkan band-band punk yang sedia ada. Hanya ada tiga lagu dalam demo ni. Aku rasa itu pun dah cukup power. Pasal lagu dia orang ni boleh tahan panjang-panjang juga. Lirik pun boleh tahan politikal. Masalah dunia dan harian yang dilalui oleh kebanyakkan punk dan umat manusia.

Musick Snaggletooth ni aku simpulkan kombinasi dari pelbagai latar belakar jenis musick berat. Tapi basik dia tetap punk. Ada sound d-beat, ada sikit-sikit macam rock and roll, ada macam hardcore Sweden, metal dan sebagainya. Entahlah. Kalau bagi yang minat Motorhead mungkin akan suka dengan demo ni. Aku tak reti sangat nak cerita pasal musick dia orang ni. Tapi memang layan la. Tapi jangan sampai lalai tak pergi solat sudah.

Dahlah, aku tak reti nak cerita macam mana lagi pasal demo ni. Eh, lupa nak kasi tahu. Kau bayar RM10 untuk beli demo ni dapat sekali dengan button satu inci dan juga stiker Snaggletooth. Itu yang paling power sekali. Aku punya demo nombol 57. Maksudnya mungkin aku orang yang ke 57 beli demo ni. Nombol satu siapa yang beli pun aku tak tahu. Kalau berminat bolehlah dapatkan dengan segera. Jangan benda dah habis baru kau terhegeh-hegeh cari. Memang kena terajang nanti. ( 18 November 2012 )


Thursday, November 8, 2012

Mosh #15 / T.S.A.B #5 / Julai 2012 / A5 / B.M-B.I


Muka depan Mosh 


Muka depan TSAB.


Aku dapat zine ni dah lama sebenarnya. Awal-awal rilis dulu aku terus beli. Tapi entah kenapa baru hari ni masa tengah angkat kontena baru aku terfikir nak review. Mungkin tengah semangat agaknya. Tak. Sebenarnya memang ada banyak lagi zine yang aku beli dari tahun 2008 masih belum aku review sampai sekarang. Mungkin tunggu aku ada anak lima baru aku review. Tengoklah nanti macam mana. Ni pun mungkin sebab Nizang yang ingatkan aku untuk review. Kalau tak tentu aku masih goyang kaki lagi sampai sekarang. 

Kalau dah lebih dari lima tahun jadi punk roker kat Malaysia ni, aku fikir tak ada alasan untuk kita kata tak kenal dengan Mosh. Kira macam poser jugalah kalau mengaku punk, tapi tak kenal dengan nama Mosh dan Nizang itu sendiri walaupun mungkin belum pernah baca dan agak konsisten tiap-tiap minggu datang gig. Mosh ni dah wujud lama dulu sejak akhir tahun 90an lagi. Dimana pada masa tu aku memang belum kenal apa itu makwe. Apatah lagi makwe lama. Power betul zine ni sebab dapat bertahan sampai sekarang. Dari lepas sekolah, melalui zaman bujang hingga lima enam kali putus cinta dengan makwe dan akhirnya sekarang dah berumahtangga dan ada seorang anak. Memang power. Aku? kalau kau tanya memang aku jawab dengan tapak kaki je nanti.

Tapi untuk isu kali ni aku rasa dari segi paras rupa zine ni agak kurang sikit kalau nak dibandingkan dengan isu-isu yang sudah. Kalau isu sebelum ni kemas, cantik dan sedap mata memandang tapi untuk isu split ni macam huru hara sikit printing dan stapler dia. Kurang kemas finishing dia. Tepi tak potong kasi rata. Entah. Itu dari sudut pandang pertama la. Yang lain-lain semuanya okey macam yang sudah-sudah. Aku ni bab pandangan pertama memang agak cerewet sikit. Biasanya kalau nampak sedap, benda kat dalam aku tak kisah sangat dan terus jadi semangat nak baca.

Mak aku sendiri pun tahu yang Mosh ni bukan zine berat yang konsentrate cerita hal politik atau fahaman-fahaman dalam punk hardcore. Pada aku lebih pada cerita personal seorang punk roker dalam menjalani kehidupan seharian disamping cuba menerapkan idea-idea punk dalam kehidupan dan persekitaran harian. Lebih-lebih lagi sekarang ni dah berumahtangga dan ada anak. Ringan. Tapi sebenarnya banyak juga pengalaman dan idea yang boleh kita contohi. Ada cerita hal kerja, keluarga, kawan-kawan, aktiviti dalam punk hardcore dan aksi langsung. Ada sumbangan artwork dari kawan-kawan, gambar kawan-kawan, flyers dan yang seangkata. Tak lupa juga untuk isu kali ni ada interview sedap bersama dengan Cikgu Fazri untuk DRSA zine. Panjang lebar juga jawapan Fazri ni. Aku memang minat baca interview yang panjang-panjang. Tak adalah nampak kejung dan ringkas sangat interview tu. Baru nampak macam hidup sikit perbualan tu. Yang lain-lain ada interview dengan band punk rock Bacteriostatic, Francis Wolf dan Ride On Zine. Macam biasa ada ruangan review benda-benda musick dan bahan bacaan. Secara keseluruhannya Mosh ni okey la. Ringkas. Pantas dan tipis. Gaya penulisan pun ringan, campur dengan bahasa ingeris dan melayu sikit-sikit. Pesen makwe-makwe politeknik pun sesuai baca zine ni.

Untuk TSAB ( Think Smart Act Blur ) pulak, ini zine memang klasik. Sama umur dengan Roots dan juga Mosh sendiri. Aku mati-mati ingat zine ni dah mati dan tidak wujud lagi. Gila lama dah. Kalau tak silap, isu terakhir dulu pun rilis awal tahun 2000. Lama sangat dah. Tapi entah apa penyakit tahun ni boleh rilis dengan isu baru pulak. Mesti ada muslihat ni. Dulu memang selalu juga aku berutus surat dengan Zax. Tiap-tiap minggu memang sentiasa dapat surat dari dia. Gila-gila juga orangnya. Walaupun kerap berutus surat, tapi seingat aku kami berjumpa tak lebih dari empat kali sepanjang perkenalan. Yang aku ingat masa pertama kali jumpa dulu kat Kolumpo dan sempat berbuka puasa kat C.M. Masa tu makwe lama aku pun ada sekali. Kita orang makan nasi beriani berlaukkan burung wak wak. Pehh gampang juga bila nak review zine pun boleh ada cerita KLMJ. Yang Nan pulak aku tak berapa kenal rapat sangat dulu. Tahu cuma dia pandai melukis dan salah seorang editor untuk TSAB. Lukisan dia gaya-gaya orang putih. Dan salah satu dari lukisan dia pernah jadi design untuk satu baju Roots masa tahun 2007 dulu kalau tak silap aku. Bila dah hidup dizaman Facebook ni, baru aku jadi agak rapat dengan Nan. Zax pun dah berumahtangga sekarang ni. Ahhh, senang cerita semua orang dah berumahtangga, aku sorang je yang belum. Power tak aku?

TSAB ni memang pesen zine ringan. Langsung tak berat. Dari isu pertama aku baca dulu, sampai sekarang zine ni memang tak banyak sangat nak cerita benda-benda berat dalam punk. Lebih banyak lukisan atau artwork sebenarnya. Kalau ada pun jenis cerita yang lawak atau benda-benda harian dari pengalaman penulis. Kalau dulu ada juga gaya penulisan gila-gila tapi isu baru ni mungkin dah matang, jadi dah tak sesuai nak tulis benda-benda yang tak senonoh. Aku macam tak percaya pulak yang Zax sama Nan ni masih ada minat untuk menulis. Heran sekejap. Tapi dari dulu lagi yang aku tahu, budak Zax dengan Nan ni memang power dengan hal-hal yang berkaitan dengan internet. Dari isu awal lagi dulu dia dah banyak explore dan cerita benda-benda yang berkaitan dengan interet. Untuk isu yang baru ni pun ada juga benda-benda yang dia ceduk atau review dari internet.

Dari segi susun atur, kira okeylah walaupun nampak agak huru hara sikit. Banyak selit artwork-artwork dari Nan yang disusun dengan teknik copy paste gaya zine awal 90an dulu. Dari segi printing memang terang. Hitam. Pekat dan jelas untuk dibaca. Tak banyak sangat bahan dari TSAB. Aku rasa macam berat sebelah pulak split ni. Maksud aku dari segi mukasurat tu agak tidak belen. Kira macam 70 persen adalah Mosh dan selebihnya adalah TSAB. Tapi tak kisahlah, mungkin isu yang ni sebagai pemankin untuk isu-isu akan datang. Orang kata isu untuk cari semangat yang hilang, walaupun mungkin tak pernah hilang. Dari segi gaya penulisan, mungkin agak ringas. Tak banyak guna perkataan yang berat-berat. Tak ada kias-kias. Senang cerita memang mudah nak faham la.

Rasa macam dah panjang sangat dah ni aku review. Kalau ada yang minat, boleh cari Nizang atau Zaxlah. Aku dah tak larat nak review lagi ni sebenarnya. Hingus tak berhenti meleleh dari pagi sampai petang. Nak angkat kontena pun rasa macam kurang power hari ni. Aku fikir dah dekat dua minggu juga selsema ni tak hilang. Dapat selet hingus ni ke muka Maksu pun sedap juga. Biar dia rasa langit tinggi ke rendah. Okey, bai. ( 08 November 2011 )

Monday, November 5, 2012

Daighlia - Transitions / CD / RM15


Orang-orang seni je yang faham artwork gaya macam ni.

Aku rasa Daighlia ni antara band lokal yang boleh masuk dalam kategori berjaya dan bertahan lama. Masih aktif dengan gig dan rilisan-rilisan terbaru. Dan yang terkini sekarang ini mereka tengah sibuk buat tour kat Eropah sana. Eh, EROPAH tau! EROPAH! kumpolan Search yang dah wujud berkurun lama tu pun tak pernah main kat Eropah. Ini band anak kampung dari Negeri Sembilan dah sampai sana. Artis arus perdana patut malu sikit dengan scene punk kat Malaysia ni. 

Pada aku, band Malaysia kalau dah sampai tahap main gig keliling Eropah memanglah power. Sebab tak banyak band Malaysia yang buat benda tu. Kali pertama aku tengok dia orang perform masa kat Blue Planet dulu. Blue Planet ni kemuncak dia masa awal tahun 2000. Masa tu memang tengah kemaruk datang gig dengan makwe yang konon berjanji untuk sehidup semati. First time aku tengok Daighlia perform aku dah jatuh hati dengan showmanship dia orang. Bertenaga, aggresif, tak terkawal dan penuh dengan emosi. Memang banyak juga aku snap gambar dia orang masa tu. Dia orang bersemangat atas stage, aku pulak bersemangat snap gambar. 

Daighlia ni bukan band grindcore atau krasti atau d-beat. Jauh sekali zapin. Daighlia lebih cenderung dalam pecahan hardcore. Tapi hardcore yang ganas, laju dan banyak bermain dengan emosi. Stop and go punya part pun boleh tahan banyak. Irama yang tidak terkawal dan sukar untuk dijangkakan. Kita baru nak lompat, sekali dia tukar beat kepada mendatar. Kita baru nak terajang pintu sekali dia dah masuk part plucking. Tak mudah sebenarnya nak layan musick Daighlia ni. Musick yang kejap laju, kejap perlahan, kejap drum attack, kejap grinding. Tapi vokal tetap maintain nyanyi dalam keadaan menjerit-jerit, meleweh-leweh. Orang-orang yang cerdik pandai perihal musick kata dia orang punya musick ni kesinambungan dari emo ( Zine Skandal ) violance, power house dan hardcore punk. Musick dia orang kalau nak senang lebih kurang macam Shikari la. Lirik pun bukan calang-calang, personal, politikal juga. Susah nak cari band yang serius dengan hardcore punk kemudian nyanyi pasal kena tinggal dengan makwe. Nampak tak? 

Cd ni sebenarnya koleksi dari rilisan-rilisan dia orang sebelum ni. Bagi yang terlepas dengan material dia orang sebelum ni, jalan singkatnya adalah dengan mendapatkan cd ni. Senang. Kualiti rakaman memang power. Sempurna. Begitu juga halnya dengan produksi cd. Kalau pertengahan tahun 90an dulu memang susah la nak cari cd atau demo dengan kualiti macam gini. Masa berlalu, punk pun banyak yang dah berubah. Bagi yang berminat bolehlah beli cd ni. Jangan biasakan diri dengan meminjam. Punk perlu ada sejarah untuk memiliki. ( 19 Oktober 2012 )



Wednesday, October 31, 2012

3 Way Split Humanity Brutality - Discrusher, Hellexist, Black Wing Of Vengeance / CD / RM10


Ganas kan cover cd ni?

Aku layan cd ni sepanjang perjalanan nak ke tempat kerja hari ni. Masa memandu ada rasa macam nak terajang pintu dan suis power window. Hangguk-hangguk, geleng-geleng kepala aku layan cd ni. Kalau ada yang perasan mungkin dia orang ingat aku gila. 

Power betul band yang terlibat dalam split ni. Discrusher aku suka part drum dan vokal dia. Selang seli dengan growl dan jerit. D-beat crust yang rancak dan bertenaga. Drum stail d tak, d tak dengan double padle. Susunan musick dia orang pun nampak kemas dan padu. Celaka apa benda aku review ni? Ahh... 

Okey, Hellexist pulak, gila apa intro dia orang je dah panjang nak mampus. Aku tunggu juga bila nak masuk part lompat hardcore. Tapi gitar dia macam tu jugak. Lepas tu lagu bukan main panjang lagi. Patutlah dia orang cuma kasi dua lagu je untuk split ni. Pada aku musick Hellexist kali ni aku rasa macam kurang rancak dan cergas. Lagu nombol dua aku rasa power sikit. Musick stail d-beat crust apa dia orang main pun aku tak tahu. Ada elemen metal sikit-sikit. 

Yang last sekali Black Wing Of Vengeance. Aku dah mula minat dengan band ni masa mula-mula dia orang keluarkan demo dulu. Memang power. Entah, macam grind metal pun ada stail dia orang main ni. Sikit-sikit ada juga ke arah krasti. Entah. Yang penting power dan buat kita rasa nak terajang pintu sekali lagi bila dengar. 

Dari segi kualiti rakaman aku rasa semua power, cuma part B.W.O.V je aku rasa kualiti dia macam suram sikit. Macam mana pun semua masih boleh didengar lagi. Artwork, produksi cd apa semua memang sempurna. Macam biasa, hitam dan putih trademark krasti, punk dan d-beat. Tapi sejak-sejak ni aku kurang minat sikit dengan cover cd yang licin-licin ni. Tak tahu la kenapa. Dah la, banyak lagi kontena aku nak kena angkat ni. Kalau nak lagi puas hati beli dan nilailah sendiri. ( 18 Oktober 2012 )



Wednesday, October 24, 2012

My Ladybugs Chenta Robot Froggie / A5 / B.M - B.I / RM4


Antara artwork power budak-budak dalam scene punk hardcore.


Amboi bukan main panjang lagi nama zine. Aku pun tak tau apa maksud disebalik nama yang panjang tu. Sepanjang aku jadi punk, aku rasa ni lah pertama kali aku beli dan memiliki zine yang cerita hal makanan dan masak-masak. Makin macam-macam pulak aku rasa scene punk hardcore sekarang ni. Dah makin banyak bahan bacaan alternatif. Kalau dulu semua orang buat zine nak cerita pasal musick dan etika dalam punk. Sekarang orang dah tak peduli sangat pasal dua benda tu. Tulis la apa benda kau nak tulis, cerita la apa benda pun nak cerita. Pedulilah apa orang nak cakap. 

Sebenarnya bagus juga ada zine masak-masak macam ni. Bagi orang yang memang rajin memasak macam aku ni, boleh juga mencuba resipi-resipi baru dalam zine ni. Punk pun manusia juga. Punk pun kena makan juga. Perut kena isi juga dengan makanan yang berkhasiat. Banyak juga menu pelik-pelik aku jumpa dalam zine ni. Agar-agar megi pun ada. Senang cerita ada banyak variasi dan menu baru yang boleh diadaptasi dari megi. Baru aku tahu yang megi ni versetail dan power juga rupanya. Ada banyak lagi menu menarik boleh jumpa dalam zine ni. Yang berat, yang ringan dan yang veggie adalah satu kelebihan. 

Biasanya buku-buku yang berkaitan dengan resipi makanan harganya boleh tahan mahal kalau kita beli kat kedai. Paling bangsat pun belas-belas ringgit juga. Tapi yang ni memang murah la. Walaupun sekadar fotostet, tapi isi didalamnya memang tak mengecewakan. Kita nak isinya, bukan kita nak makan kertasnya. Cuma dari susun atur tu agak huru hara sikit. Kalau disusun dengan lebih kemas, mungkin zine ni akan nampak lebih power sekaligus boleh dijual untuk pasaran surirumah diseluruh Malaysia. Ada juga informasi berkenaan dengan vitamin dan khasiat dalam makanan. Cerita pasal fast food pun ada juga. Yang tak ada dalam zine ini ialah cerita yang berkaitan dengan musick dan benda-benda yang terjadi dalam punk itu sendiri. 

Aku suka cover depan dan belakang zine ni. Memang nampak simbolik macam artwork kebanyakkan zine dari oversea. Tak sangka pulak aku yang Alang Rix ni power melukis. Eh, dah lama gila aku tak dengar cerita dari Alang. Ada lagi rupanya mamat ni. Dulu dia steady buat zine punk tepu nama Arghhh. Makwe yang buat zine ni pun aku bukan kenal sangat. Tapi kalau kat Facebook tu selalu juga nampak dia update status yang berkaitan dengan makanan. Setiap hari mesti ada post gambar makanan. Bikin aku hati panas pulak. Kalau dapat makan takpe la jugak. Entahlah, aku pun tak tau nak cerita apa lagi. Ni pun rasanya dah merapek sangat aku cerita. Kalau nak tahu dengan lebih lanjut boleh dapatkan zine ni sementara benda masih baru ni. Esok lusa dah habis baru terkial-kial nak beli memang aku sebat badan kau dengan hanger baju. ( 20 oktober 2012 )



Tuesday, October 23, 2012

Wormrot / I Abhor / CD / RM15


Kenapa gambar tengkoak? teimalah hakikat bahawa satu hari nanti macam mana power pun kita kat dunia ni, kita pasti akan menjadi tengkorak.


Wormrot ni memang band kegemaran aku buat masa ni. Pergi kerja, balik kerja, tengah kerja aku layan Wormrot. Memang tengah gila Wormrot. Tapi bila kena buat review cd ni aku rasa macam susah. Susah nak ceritakan dia punya power macam mana. Tak dapat nak dikongsikan dia punya power. Tapi itulah, setiap kali aku nak mula review, setiap kali tulah ada job masuk kena angkat kontena. Wormrot tetaplah Wormrot yang power dah gah dengan grindcorenya. Tak mungkin Wormrot akan menjadi Carburator Dung, Enslave Chaos jauh sekali XPDC. Susunan musick yang power, cergas, mantap dan bertenaga. Layan Wormrot ni pun sebenarnya boleh keluar peluh juga. Sihat juga badan sebenarnya. 

Ada part memang membabi buta dan ada part macam biji mata nak terkeluar dan kena kunyah. Vokal yang kejam jenis kalau nyanyi urat leher terkeluar. Dalam scene musick grindcore, mana ada part singalong. Gila. Rugilah kalau jadi kaki pukul, samseng kampung atau mekanik tapi tak reti nak layan musick grindcore macam ni.Tukang masak restoren pun aku dengar cerita ramai yang dah into musick grindcore. Apa barang kalau jadi penulis untuk Zine Skandal tapi tak reti nak layan grindcore. Kalau aku jadi pak mentua, antara syarat kalau nak kawen dengan anak aku ialah menantu mesti dari yang jenis layan grindcore. Ni apa benda stail review aku buat ni? 

Okey I Abhore ni band entah dari mana pun aku kurang pasti. Yang pasti I Abhore ni bukan band dari Malaysia atau Singapura. Ini band luar negara sana. Main lebih kurang sama juga dengan Wormrot. Grindcore juga. Ganas dan membabi buta juga. Tak ada belas kasihan punya musick juga. Kalau dah dua-dua pun main musick yang sama, tak perlulah aku nak cerita banyak-banyak sangat. Tapi jiwa aku tetap lebih cenderung ke arah Wormrot punya grinding. 

Dari segi kualiti rakaman memang power. Kau tengoklah, berapa banyak perkataan power aku dah guna untuk review benda power ni. Produksi cd semua sempurna. Cuma lirik untuk bahagian Wormrot je tak ada. Pada aku kalau main musick jenis grindcore ni, lirik memang kena sertakan sekali. Kalau nak tangkap sebiji-sebiji apa dia orang nyanyi memang sampai kiamat pun memang tak boleh dapat. Jadi kena ada lirik sebagai rujukkan. Tapi jangan risau, Wormrot ni walaupun grindcore, tapi lirik lebih ke arah poilitikal kehidupan. Maksudnya lirik yang ilmiah la. Jadi kalau boleh janganlah pandang serong pada band-bang yang main musick grindcore. Dahlah, aku stop sini dulu. Kalau minat pergilah cari sendiri cd ni. Yang pasti benda macam ni memang tak ada jual kat pasar malam atau Musick Valley. ( 18 Oktober 2012 )


Saturday, October 20, 2012

#Zine Skandal / A5 / B.M / RM5


Kulit zine jenis kaler-kaler nak pancing kasi orang beli. Geram betul aku.


Selama aku into scene zine, aku rasa inilah pertama kali aku jumpa zine yang 100% cerita didalamnya pasal makwe dan pakwe berskandal, bercinta, bergaduh, bertumbuk dan akhirnya berendam air mata. Senang cerita kalau rujuk pada bahasa yang lebih hip, ini zine emo. Dulu aku ingat dalam punk hardcore je ada zine. Tapi rupanya sekarang ni dalam scene skandal pun ada zine. Mungkin esok lusa akan ada zine untuk scene mesin rumput, tukang tarik kereta atau zine untuk para petani. Aku memang jenis tak kisah. Zine punk aku baca, zine emo aku baca, zine masak-masak pun aku baca. Kalau ada zine pasal matematik pun aku baca. Faham tak faham itu nombol dua. 

Benda-benda macam ni biasanya memang Timi suka buat. Zine ini adalah projek dia sama kawan-kawan dia. Penulis yang terlibat dalam zine emo ini ialah Aman, Chocfetish, Dipan, KC Kasedah, Fikri Kacak, Lili Loco dan juga Timi sendiri. Boleh dikatakan hampir kesemua penulis yang terlibat mengenali aku. Masing-masing menulis pengalaman bercinta dan berskandal. Semuanya sedih-sedih. Ada yang siap kena pukul bantai lagi. Gila hebat juga pengalaman mereka bercinta. Tapi aku rasa Timi punya cerita tak sedih mana pun. Malahan kelakar pulak aku rasa. Pasal aku dah kenal dia lama. Dia ni memang jenis kaki perempuan dan kaki boobies 24 jam. Sepanjang aku ada makwe dulu, dekat seratos kali juga dia bertukar pasangan. Untung dia tak kena penyakit kelamin. Sedangkan aku sampai sekarang pun baru sekali hilang makwe. Kesian. 

Rajin budak-budak ni menulis pengalaman bercinta. Panjang-panjang pulak tu. Dalam banyak-banyak penulis, rasanya cuma sorang je yang berjaya ke jinjang pelamin. Iaitu Aman. Yang lain mungkin masih berusaha ke arah itu. Timi ada juga paksa aku menulis untuk Zine Skandal ni. Tapi sebab aku ni power sangat dalam hal percintaan, maka aku terpaksa tarik diri. Kalau aku menjadi salah seorang penulis dalam Zine Skandal ni, aku risau zine ni akan jadi hit dan ramai orang akan beli. Aku tak nak benda tu terjadi. Zine ni kira okeylah untuk dibeli sekaligus dibaca. Ada juga pengajaran yang boleh kita dapat. Sebenarnya apa jenis bahan bacaan pun memang tak rugi beli. Bukankah seronok membaca kisah dan pengalaman percintaan orang lain dari membazir duit beli majalah Mangga. Ye tak?

Pada aku tak kisahlah kita nak berskandal dengan siapa pun. Asal bukan dengan isteri orang dan tidak berzina cukuplah. Aku bukan nak cakap besar la, sebenarnya hampir setiap minggu aku keluar dengan suami orang. Tengok wayang, makan-makan, lepak bengkel sampaikan ke pejabat pos pun kadang-kadang dengan suami orang. Alhamdulilah setakat ni memang tak ada masalah. Sebenarnya skandal pun boleh jadi salah satu cabang untuk kita bertemu jodoh juga. Mula-mula mungkin kita berskandal, tapi siapa tahu esok lusa dia jadi teman hidup kita yang sah. Semua orang tahu, jodoh itu rahsia tuhan. Kita tak tahu dengan siapa kita akan berumahtangga. Pandai-pandailah bawak diri. Jangan sampai kena pukul sudah.


P/S. Entah tak jumpa pulak aku alamat atau mana-mana orang yang boleh dihubungi untuk beli zine ni. Kalau nak mintak tolong aku belikan pun rasanya tak ada masalah. Pandai-pandailah cari aku.