Sunday, December 23, 2012

Shock & Awe Nombol Lima.








Baru-baru ni aku ada beli Shock And Awe itu terbaru ni. Kali ni memang fresh aku beli. Baru berapa hari rilis aku terus beli. Benda-benda zine ni kadang-kadang memang cepat aku beli kalau nak dibandingkan dengan benda-benda musick. Sebenarnya aku tak adalah ikut sangat pun perkembangan zine ni. Tapi isu-isu dia yang sebelum ni memang semua aku ada. Satu perkara yang aku suka tentang Shock And Awe ni ialah dari isu pertama sampai yang keempat semuanya kemas dan hampir-hampir kepada pro printed. Dan akhirnya isu yang terkini datang dengan sepenuhnya pro printed. Memang power. Dapat aku rasa scene zine kat Malaysia ni dah semakin power. Lagi-lagi untuk isu yang ke lima ni datang siap dengan piring hitam tujuh inci. Tahukah anda, benda-benda macam ni hanya wujud dalam scene hardcore punk DIY? scene buku-buku indie pun tak pernah buat benda macam ni. Scene hardcore punk dah buat benda ni dari dulu lagi mendahului scene buku indie yang tengah sibuk naik sekarang ni. Kau boleh tengok sendiri pakaging zine ni.

Sepenuhnya dibuat sendiri. Maksud aku dari promosi, duit, pencetakkan pada kover, penulisan dan pengiklanan. Ini yang aku suka tentang DIY. Tak perlu upah orang untuk uruskan promosi, tak perlu dana dari orang perseorangan, tak perlu keluar masuk tivi atau radio untuk urusan promosi. Semuanya bawah tanah dengan formasi solidariti dari kawan-kawan. Power. Benda kalau dah DIY engko jangan risau, tak ada sekatan dalam penulisan, tak perlu ada pantang larang dalam menulis, tak perlu ada garis panduan itu dan ini. Engko sebagai penulis bebas sepenuhnya nak tulis tentang apa, pengunaan ayat yang macam mana dan sebagainya. Pada aku itulah seni yang sebenar-benarnya. Apa ertinya memperjuangkan seni dan budaya DIY tapi masih banyak sekatan dan pantang larang yang perlu dipatuhi? Dimana letaknya kebebasan engko sebagai seorang penulis dan pejuang seni?

Sebenarnya terus terang aku cakap, dapat saja Shock And Awe ni kat tangan aku, macam ada satu semangat suruh aku buat balik Roots Zine. Aku memang jenis cepat cemburu bila tengok zine-zine power timbul dalam scene Malaysia ni. Kalau dia boleh buat, kenapa pulak aku tak boleh buat? sedangkan dulu aku pun pernah buat benda-benda yang sama macam dia orang buat. Aku pun pernah keluarkan Roots dalam pro printed atau hampir-hampir kepada pro printed. Aku ingat seawal Roots isu nombol dua Roots dah guna sepenuhnya komputer editing and grafik. Ceh pakai ayat orang putih pulak. Tengoklah nanti, ada rezeki ada la. Selama ni pun aku tak pernah berhenti dari menulis. Setiap hari menulis. Cuma tak dilempiaskan dalam bentuk zine. Semangat tengah ada ni. Engko tunggu jelah nanti. Aku harap scene zine kat Malaysia ni akan jadi lebih meriah dari tahun ke tahun.

Kalau engko tengok cara produksi Shock And Awe ni, sebenarnya dia lebih kepada untuk market worldwide. Maksud aku dari pengunaan bahasa. Sepenuhnya dalam bahasa inggeris. Layout grafik semua memang sekali tengok memang kita dapat tangkap yang ini zine punk hardcore. Bukan zine yang jenis meleweh-leweh cerita pasal hati dan perasaan pada makwe atau pakwe. Penulisan-penulisan dalam zine ni pun lebih kepada menceritakan sejarah dan kewujudan punk hardcore di Malaysia. Ya, rasanya masyarakat dunia masih ramai yang tak kenal dengan Malaysia. Masih ramai yang tak tahu kat Malaysia ni wujud komuniti punk hardcore yang serius walaupun aku tengok setiap tahun, setiap bulan, setiap minggu ada sahaja band dari oversea perform kat sini. Maksudnya scene punk hardcore kat Malaysia sedang meniti dibibir punk haredcore diluar negara sana.

Penulis-penulis yang terlibat dalam zine ni pun bukan jenis yang biasa-biasa walaupun hakikatnya mereka bukanlah malaikat atau pun dari bangsa jin. Semuanya manusia biasa macam aku, macam engko juga. Bezanya kebanyakkan penulis yang terlibat dalam zine ni orang-orang yang aktif dan ada nama dalam scene punk hardcore tempatan. Orang yang bukan sekadar aktif dengan band, tapi menulis juga. Orang yang bukan setakat bermain gitar dan menyanyi, tetapi sebagai individi yang bertanggungjawab menguruskan distro dan acara-acara gig tempatan. Antara individu dan penulis yang dikenali umum dalam komuniti punk hardcore tempatan ialah Joe Kidd, Shammir, Wan Hazril, Sin Chan, Hatta Nirman, Shaiful Zerox, El Pheng dan ramai lagi. Nama-nama ni je secara tak langsung boleh menarik orang untuk membeli dan membaca zine ni. Nampak tak? pengaruh penulis pun kadang-kadang kuat juga untuk marketing. Memang dia orang ni dari aku kenal sampai sekarang memang jenis kalau menulis semuanya benda yang serius.

Banyak benda aku nak cerita pasal zine ni rupanya. Aku ingat silap hari bulan benda ni dah tak jadi review dah. Penulisan-penulisan dalam zine ni banyak cerita hal-hal yang berlaku disekitar Kuala Lumpur, terutamanya kawasan sekitar Klang. Aku tahu memang scene sebelah sana memang tengah aktif. Setiap minggu ada saja gig di Rumah Api. Aku tak ingat bila kali terakhir aku jejak kaki ke Rumah Api. Kalau tak silap masa tu Hellexist ada main kat sana. Dan pada masa tu Pipi pun ada datang juga. Dan pada masa tu aku tengah rapat dengan Puan Haslina. Dia datang gig tu bawak berdozen-dozen Pizza. Maklumlah dia orang ada pangkat kat KFC Holdings. Lepas tu sampai sekarang aku tak pergi Rumah Api lagi. Tengoklah, kalau ada rezeki dan kelapangan memang teringin sangat nak kesana. Oh ya, berbalik pada Shock And Awe tadi, aku perasan tak ada saru cerita pun tentang perkembangan scene dari Johor Bahru atau Johor amnya. Apa scene punk hardcore kat Johor Bahru ni dah tak wujud ke apa? Ke scene Johor Bahru dah kena boikot dengan budak Kolumpo macam akhir tahun 1999 dulu? entah.

Dah lah, aku rasa aku dah mula nak merapek ni. Secara keseluruhan zine ni memang sedap mata memandang. Boleh dan mesti dibeli, disimpan dan dijadikan koleksi. Tapi satu hal yang kita perlu terima, zine-zine serius macam ni kadang-kadang susah sikit nak diterima oleh masyarakat. Dia orang tak tahu apa-apa sangat pasal cerita punk hardcore tempatan. Dia orang tak tahu apa itu Rumah Api, dia orang tak tahu apa yang aku tahu. Nak hadiahkan zine ni pada makwe pun aku fikir dua tiga kali. Bukannya dibaca nanti. Harganya tak mahal sangat pada aku. RM30 siap dengan piring hitam tujuh inci. Zaman sekarang ni mana ada artis Malaysia nak rakam lagu dalam bentuk piring hitam lagi? tapi punk hardcore masih lagi buat. Itu yang aku suka. Punk hardcore masih lagi unik. Itu yang membezakan punk hardcore dengan masyarakat dan produk-produk mainstream. 

Sementara benda masih ada banyak lagi ni, aku fikir ada baiknya engko cepat-cepatlah beli.



No comments:

Post a Comment