Monday, October 31, 2011

( SMKJ ) Ini baru real ol skool!


Baru-baru ni gua terjebak secara aktif dengan satu group sekolah rendah gua dekat laman sosial Facebook. Sebenarnya group ni dah lama wujud, tapi gua baru aktif dalam group ni sebab rumah gua dah ada line internet. Kalau dulu nak online madang kena pergi kafe siber. Jadah apa gua nak keluar rumah jauh-jauh semata-mata nak aktif dalam group ni. Memang la! gua memang masih lagi konsume Facebook walaupun gua dah ada akaun Twitter dan juga ini blog. Kadang-kadang dalam sesetengah kes, kita kena ada semua akaun sosial ni semata-mata nak mengikuti perkembangan semasa kawan-kawan yang tidak pernah keluar dalam suratkahabar arus perdana mahupun bawah tanah. Television jarang sekali. Kadang-kadang gua fikir, ada baiknya juga lama sosial berbentuk macam ni. Tak sangka dapat jumpa balik benda yang dah berpuluh tahun tak jumpa.

Okey, berbalik pada cerita gua mula-mula tadi, group ni ditubuhkan khas untuk budak-budak batch gua iaitu bermula pada tahun 1986 sehinga tahun 1991. Walaupun dari tahun 1986, sebenarnya gua mula bersekolah di Sekolah Mohd Khir Johari ni pada tahun 1988. Kalau tak silap la. Gua masuk sekolah ni masa darjah tiga. Kalau tak silap gua masuk kelas tiga Jingga. Entah pelik apa nama kelas kat sekolah ni pakai nama warna. Gua dan keluarga terpaksa berpindah dari Kolumpo ke Johor Bahru atas urusan perkerjaan bapa gua. Dulu gua sekolah dekat Sekolah Sri Petaling, Petaling Jaya. Kalau yang tak tahu, sekolah Seri Petaling ni dekat dengan gedung membeli belah Jaya Supermarket yang dah roboh beberapa tahun lepas. Ingat sedap ke pindah-pindah sekolah ni? sama juga tak sedapnya macam pindah-pindah tempat kerja. Banyak benda nak kena setting semula. Paling gua lemah part suai kenal.

Sekolah Mohd Khir Johari ni letaknya di Kampung Melayu Majidee. Dah tentulah otomatiknya gua menetap di Kampung Melayu Majidee. Sekadar menyewa. Mana yang dulu selalu oder zine atau rajin hantar surat kat gua tentu tahu alamat rumah gua yang kat Lorong Jaya tu. Sekolah Mohd Khir Johari ni memang sekolah paling sempoi sekali pernah gua kenal. Fungsinya bukan setakat sekolah, tapi bila masa cuti sekolah pun sekolah ni jadi tempat permainan gua. Pesen sekolah tidak berpagar. Suka-suka masuk, dan suka-suka keluar. Padang bola pun pesen berkongsi dengan penduduk kampung. Siapa berani larang? tiap-tiap petang main bola kat padang ni. Main basikal kat celah-celah bangunan dan bilik darjah. Ada satu kali tu gua ingat ada budak-budak mana entah suka-suka buat ram papan selaju kat tempat main bola tampar / jaring / badminton. 

Aha, kalau bijak lagi bistari tentu lu tak jumpa gua yang mana satu.

Sampai sekarang pun gua sebenarnya macam dan masih tak percaya yang gua dapat jumpa semula kawan-kawan yang dah lebih dari dua puluh tahun tak jumpa. Dua puluh tahun tu kalau bela anak, dah besar, dah habis SPM kau tahu? Memang ada yang jenis habis darjah enam terus tak jumpa lagi sampai sekarang. Ada sesetengah kes yang tak sampai darjah enam dah kena pindah sekolah. Memang pada gua benda-benda macam ni selalu buat gua teruja. Maklum sajalah benda-benda yang berkaitan dengan KLMJ ( Kenangan Lalu Mengusik Jiwa ) ni memang buat gua lebih cerdas. Budak-budak sekarang kata rare! Gila lu, kalau dah jenis lebih dua puluh tahun tak jumpa, gua rasa bukan umur sahaja meningkat, fizikal pun boleh berubah. Dari gemuk ke kurus, dari hitam ke putih, dari rendah ke tinggi lampai atau macam gua dari muka bersih sampai muka dah penuh dengan beard ( sedap sikit sebut beard, jambang ni macam kampung-kampung pulak ) atau mungkin dari bernafas kini sudah menjadi penghuni liang lahad sepenuh masa. Benda-benda ni semua memang tak mustahil. Al-fatehah bagi yang telah kembali ke rahmatullah.

Walaupun sekadar bersembang dilaman sosial, pada gua itu sudah cukup memadai dan rasa bersyukur. Memori puluhan tahun dulu seakan kembali segar. Otomatik gua rasa gua jadi macam budak-budak semula ( eh, sebenarnya gua memang tak pernah membesar pun ). Mulalah bukak cerita dari mula-mula menjejaki kaki ke sekolah sampailah saat mengambil keputusan UPSR. Gua admit memang dari zaman sekolah dulu gua memang jenis budak lelaki yang sangat pemalu dengan pelajar perempuan. Kurang keyakinan diri gamaknya. Sebenarnya perangai ni tak pernah berkurangan sampai sekarang walaupun sekarang ni keyakinan diri sudah berada dipuncak. Walaupun gua menyandang gelaran pengawas masa sekolah dulu dari darjah empat sampai tamat sekolah, itu tidak dapat mengubah apa-apa tentang sifat malu gua terhadap pelajar perempuan. Nak berbual atau bertegur dengan pelajar perempuan ni pada gua macam lari satu padang dalam keadaan berbogel.


Namun bila bertemu dilaman sosial ini, gua seakan berani. Aduhhh... memanglah sebab bukan gua berkata-kata secara empat mata. Gua di Johor Bahru dan yang lainnya bertebaran entah dimana-mana. Ada yang di Ireland, ada di Sepang, Putrajaya, Negeri Sembilan, Amerikkka Syarikat, Pulau Pangkor, Kuantan, Russia, Pakistan, Bangladesh, China, Antartika dan tidak lupa juga masih ada yang setia tinggal dan membina keluarga serta kerjaya di Kampung Melayu Majidee. Alhamdulilah hampir semua yang ada didalam group ini berjaya dengan kerjaya dan keluarga masing-masing walaupun masa zaman sekolah dulu nakal nauzubillah. Terutamanya bagi pelajar lelaki macam gua ni. Memang benarlah, kejayaan seseorang itu tidak boleh disandang semata-mata pada sijil atau ijazah atau paras rupa. Eh, tapi yang pasti macam gua sorang jer ni yang masih belum berumahtangga. Kah kah kah. Okey, hal ni gua tak nak cerita dalam ni. Lain pula jadinya nanti.

Masa sekolah dulu, apa pesen pelajar perempuan pun gua tengok macam selekeh jer. Eh, sebenarnya pelajar lelaki pun lebih kurang sama juga. Ada yang jenis pergi sekolah baju langsung tak bergosok. Masa tu pakai seluar pendek memang tak ada masalah sangat. Tapi sampai darjah enam dah tak ada la yang ke sekolah dengan seluar pendek dan skirt. Ada baju dan kain sampai renyuk seribu. Dah la renyuk, baju putih pun dan lebih kepada kekuningan dan kebiruan. Penggunaan nila yang keterlaluan mungkin. Kasut pula kusam, hujung tali dah berambu rambai. Jenis nak ikat tali kasut pun rasa malas. Mana yang jenis hari-hari bergaya ke sekolah pun ada juga. Tapi gua bukan yang jenis macam itu lah. Macam mana pun sebagai seorang pengawas kena maintain kemas. Keh keh keh. Pesen rambut sikat tepi, pakai minyak rambut jenama Code 10 yang kalau berpeluh-peluh meleleh air warna putih lalu didahi dan berdekatan side burn. Eh, dulu kalau sikat rambut belah tengah budak-budak ni panggil sikat belah pepek. Cilaka betul perangai. Tapi sekarang ni bila jumpa, semuanya dah berubah. Walaupun sekadar melihat gambar di laman sosial, yang pastinya dah tak selekeh macam dulu. Ala, kalau selekeh pun sekarang ni siapa berani tegur? nak kena terajang?

Kalau dulu tak cantik, tak lawa, hitam, hingus meleleh sekarang ni gua tengok dah serupa model pun ada juga. Perasaan macam nak mengorat tu otomatik datang. Tapi macam biasa lah kebanyakkannya dah beranak dua, tiga. Eh, gua perasan ada juga yang dah beranak sampai empat woi! jangan main-main. Sihat-sihat dan subur pelajar perempuan sekolah rendah gua ni. 

Gua admit juga yang gua lepas habis sekolah rendah dulu gua terus tak jumpa atau hang out dengan hampir semua pelajar perempaun. Terutamanya yang tinggal diluar kawasan Kampung Melayu Majidee. Lagipun apa jadah gua nak hang out dengan budak perempuan walaupun dia mungkin jiran gua masa duduk Kampung Melayu Majidee dulu? Takkan nak pergi mandi kolam, main basikal, lepak batang paip nak ajak perempuan? jangan buat hal. Masa tu harap sama sekolah agama jerlah medium untuk bertentang mata dan berhubungan. Sekolah menengah pulak gua tercampak kat Sekolah Menengah Saint Joseph. Mana ada perempuan belajar kat sekolah ni. Semuanya pun lelaki. Harap cikgu jerlah yang perempuan. Makin tipis la harapan gua nak jumpa kawan-kawan perempuan sekolah rendah dulu. Lama kelamaan habis macam tu jer sehinggalah hari ini baru dapat jumpa semula secara alam maya. Jadilah, dari tak jumpa terus.

Adat manusia yang dikurniakan naluri la, tak kira budak-budak ke orang dewasa ke orang tua ke, perasaan nak bercinta masa sekolah tu tetap ada. Bukan tidak ditegah, tapi benda naluri ni bukan boleh dibendung macam rasa nak hisap rokok. Cinta monyet orang kata. Jangan sampai abai pelajaran sudah la. Masalahnya tak bercinta monyet pun pelajaran terabai juga. Apa cerita? Tapi secara seriusnya masa sekolah rendah dulu gua tak pernah menjalinkan hubungan percintaan dengan mana-mana pelajar perempuan. Jadah apa nak bercinta, nak berbual, bertegur dengan perempuan pun pada gua macam satu jenayah. Tapi dalam hati tu tetap jugalah ada minat pada beberapa orang pelajar perempuan. Tengok dari jauh, senyum dari jauh, pinjam pemadam, pembaris, pensel picit dan sebagainya kemudian bawak balik rumah. Lawak betul.

Antara cikgu paling horror dan garang masa gua sekolah rendah dulu ialah cikgu Majid. Dia punya garang serupa hantu juga gua tengok. Kalau boleh bertembung tengah jalan pun gua tak mahu. Walaupun gua tak pernah kena apa-apa tindakkan displin dengan dia, tapi gua banyak kali juga menyaksikan kekejaman dia dalam mendidik serta memberi pengajaran pada anak murid. Terutamanya budak-budak kelas Putih merangkap guru kelas tersebut. Ada satu kes gua tengok dia gantung budak lelaki kat dinding papan hitam. Dia sangut budak tu kat penyangkut. Kesian juga gua tengok. Tapi tak ingatlah apa kesalahan budak lelaki tu buat. Ada sekali sekolah gua digemparkan dengan pelajar lelaki merokok. Entah macam mana boleh kantol sampai beramai-ramai kena panggil masuk bilik kaunseling. Lepas kena belasah, bertampar teranjang, pelajar yang merokok kena habiskan berkotak-kotak rokok tanpa henti. Semput kau. Anehnya zaman dulu kena bedal, kena terajang, tumbuk macam mana kejam dengan cikgu pun, tak pernah sama sekali budak-budak ni balik rumah kemudian mengadu dengan ibu bapa. Nak mampus? kalau balik mengadu, jangan kata ibu bapa nak datang sekolah terajang cikgu semula, tapi memang konfirm lu yang kena belasah lagi dengan ibu bapa. Ini dulu punya stail ibu bapa. Kalau sekarang, dah tentu punya ibu bapa return datang sekolah belasah cikgu. Sampai sekarang gua tak tahu apa punca benda ni boleh berlaku.

Tapi bila difikir-fikir balik, kekejaman cikgu Majid tulah yang sedikit sebanyak membantu kejayaan kebanyakkan murid-murid Sekolah Mohd Khir Johari sekarang ni. Itu tak masuk lagi cerita-cerita perangai misteri beberapa orang cikgu kat sekolah ni. Antara cikgu misteri yang gua ingat ialah cikgu Khalid Thakim yang ada simpan patung berbentuk pocong yang dia kata dalam patung tu ada tanah kubur. Patung tu disimpan di dalam perpustakaan untuk mencegah dari penceroboh dan apa benda lagi gua tak ingat. Sebagai kanak-kanak tentu sahaja ramai yang percaya dan tak berani nak curi buku. Cikgu kedua ialah cikgi Ithnin. Tinggi lampai dan kurus. Gua tak berapa pasti, tapi kebanyakkan budak-budak cakap cikgu ni pernah masuk hospital mental. Mana sahihnya gua pun tak pasti. Tapi tengok dari gaya dan cara memang macam ada kebenarannya. Entah la. Banyak lagi gua nak mention, tapi tak sedap pula. Nanti dikatakan mengmpat pula. Eh, masa sekolah dulu gua selalu pinjam buku dalam perpustakaan, dan buku cerita yang paling gua minat dan tak pernah miss ialah karya Alfred Hitchcock. Entah betul entah tidak gua eja nama mamat ni. 

Apa jenis sekolah pun gua percaya ada segelintir pelajar yang konon nak nak jadi samseng, kaki pukul, kaki pow makanan masa rehat. Jenis dia nak semua orang ikut cakap dia. Kalau tak ikut kebarangkalian untuk kena pukul tu memang tinggi la. Jenis kalau berbual dengan pelajar sekolah lain, ayat dia bunyi lebih kurang macam ni "sekolah ni gua pegang, sekolah lu siapa pegang?". Kalau sekarang cakap macam ni gua ingat dah lama kaki naik ke muka. Gua ingat lagi ada satu kes, kawan gua buat kerja gila pergi bakar bilik darjah. Nasib baik tak terbakar satu sekolah tu. Kan gua dah cakap, sekolah ni tidak berpagar. Malam, siang, subuh, cuti sekolah siapa-siapa pun boleh masuk. Dah kantol dengan cikgu pun tak ada tindakkan berat. Masih juga bersekolah sampai tamat darjah enam. Memang rebel pelajar-pelajar kat sekolah ni. Antara kebanyakkan punca pertengkaran dan pergaduhan kat sekolah pasa masa itu ialah ejek dan main nama bapak. Ini memang punca paling top. Kalau jenis yang tak melawan memang diam jerlah. Kalau yang rebel, mau sekali petik nama bapak, tapak tangan hinggap kat dahi. Gua masa dulu tak berapa gangster, jadi gua cuma ejek nama bapak pelajar perempuan jer. Mana dia orang berani nak marah atau ambil tindakkan. Keh keh keh.

Kalau ada pelajar lelaki nakal berlagak samseng, tentu juga ada pelajar perempuan yang menjadi kegilaan kebanyakkan pelajar lelaki. Memang ada. Budak-budak kelas Biru kebanyakkanya cantik-cantik. Kelas Biru ni kalau mengikut hukum piramid, dia merupakan kelas paling tinggi dalam kelas-kelas yang lain. Pendek kata kelas untuk pelajar pandai la. Pesen ada yang mak bapak cikgu, mak bapak kerja arkitek, driver bas Alex dan entah apa lagi. Jumlah pengawasnya pun ramai. Gua pula masa darjah enam duduk kelas Cokelat. Cokelat ni kelas tangga kedua selepas Biru. Kira kelas sedap juga la ni. Eleh, sebenarnya masa darjah enam je baru gua tercampak dalam kelas Cokelat. Selebihnya dulu gua banyak habiskan masa kat kelas Jingga. Kelas tangga ketiga. Mana yang bercinta tu pesen tulis surat kemudian bubuh bedak dalam surat. Yang seronoknya kemudian pass pada kawan merangkap posman tidak bertauliah. Dan tak pasal-pasal akhirnya bercinta pulak dengan posman tadi. Gua memang tak reti bercinta masa sekolah. Gua banyak perhatikan perangai kawan-kawan yang bercinta sahaja. Eh itu tak termasuk kes berebut pakwe / makwe lagi. Memang celaka, kecik-kecik lagi dah pandai berebut pakwe / makwe. Memag mintak kena lempang perangai. Tak tahulah pulak kalau ada yang maintain bercinta sampai ke jinjang pelamin. Kalau ada teringin juga gua nak jumpa.

Kasut sekolah paling hot bagi pelajar lelaki masa gua sekolah dulu ialah dari jenama Carefree. Bentuk dia ada sikit-sikit nak macam Converse. Masa tu kasut ni kira mahal jugalah. Merayu-rayu jugala pada mak abah untuk beli kasut ni. Paling tidak pun periksa kena dapat nombor satu sampai tiga baru boleh dapat kasut ni. Kalau tidak jangan harap. Yang anehnya, dah la kasut ni agak mahal, cara pakainya pulak memang aneh. Jenis pijak belakang kasut kemudian jalan seret-seret. Kaki jenis tak masuk penuh dalam kasut. Gua pun tak pasti trend merapek ni dibawa oleh siapa. Siapa trend setter dia pun gua tak tahu. Bengap betul. Beli kasut untuk dijahanamkan. Kalau konsisten pakai stail macam tu memang tak sampai setengah tahun kasut dah jahanam. Bagi pelajar perempuan pulak gua tengok ramai yang into Palas Jazz kot. Entah. Gua tak sempat sangat nak usya kasut kegemaran pelajar perempuan.

Eh, asyik cerita perihal orang dari tadi, gua lupa pulak nak cerita pasal diri gua. Memang sebenarnya tak ada apa sangat pun gua nak cerita. Walaupun gua bukanlah tergolong dalam kategori pelajar pintar masa kat sekolah dulu, masa darjah empat gua merasa juga naik atas pentas ambil hadiah. Memang peristiwa bersejarah juga ni. Gua dapat menyandang mata pelajaran terbaik untuk subjek bahasa inggeris. Lu jangan main-main, gua serius ni. Mana taknya, dulu masa gua sekolah rendah kat Sri Petaling, pelajarnya majoriti orang Cina. Kalau tak Cina pun jenis melayu duduk rumah agam kemudian jenis mak bapak berbual bahasa inggeris dalam rumah. Nak tak nak masa kat sekolah dulu gua terpaksa juga berbahasa inggeris secara serius hampir setiap masa. Gua ingat lagi masa hari pertama gua tercamapk dalam kelas tiga Jingga, gua nak pinjam kawan-kawan sharpener. Dia orang semua melopong tanya apa benda tu sharpener. Sharpener tu pengorek pensil la. Aduhhh, sampai macam tu sekali. Sayangnya sejak masuk Sekolah Mohd Khir Johari ni gua dah kurang bercakap dalam bahasa inggeris. Sebenarnya tak tahu nak bercakap dengan siapa. Mak bapak gua kalau kat rumah memang cakap jawa jer.Tak ada mana nak speaking inggeris. Lama-lama dengan sendirinya gua tak pandai cakap inggeris untuk satu tempoh yang gua sendiri pun tak pasti. Tapi sekarang ni kalau nak mencuba, gua memang konfiden tak ada masalah. Tempat kerja gua ni memang kadang-kadang menuntut gua untuk berbahasa inggeris setiap masa. Cuma sempurna atau tidak jer.

Masa darjah empat juga gua aktif dalam scene dikir barat. Entah, gua pun macam tak percaya macam mana gua boleh terjebak ke kancah dikir barat ni. Hampir setiap minggu ada latihan dikir barat untuk persembahan pada akhir tahun nanti. Mula-mula rasa macam merapek juga benda ni. Tapi bila dah lama sikit, dah hafal lirik dan dah tahu apa benda nak buat, baru rasa seronok tu datang. Gua langsung tak ingat siapa lagi kawan-kawan yang turut sama dalam kumpulan dikir barat ni. Yang pasti dalam kumpulan ni semuanya pelajar lelaki sahaja. Masuk darjah lima dan seterusnya sampailah sekarang, tak ada dikir barat lagi dah dalam kamus hidup gua. Apa aktiviti kat sekolah pun gua dah kurang. Tak tahu apa sebab. Gua cuma maintain jadi pengawas sahaja dan hampir-hampir juga dilantik menjadi ketua pengawas. Fuhhh, nasib baik tak kena. Tapi masa jadi pengawas dulu, ada la beberapa kali juga gua kena baca ikrar dan doa masa perhimpunan. Sebenarnya benda ni yang paling gua takut setiap kali perhimpunan dulu. Masing-masing menolak untuk baca ikrar dan doa dihadapan semua murid. Kalau setakat naikkan bendera tu gua tak kisah lagi.

Eh, gua rasa dan panjang sangat ni. Mana ada orang buat entri blog panjang-panjang. Mintak kena maki jer nanti. Apa pun gua harap lepas ni kalau ada perjumpaan, gua akan cuba sedaya upaya untuk menghadirkan diri walaupun gua belum berumahtangga lagi. Sebenarnya gua sangat teruja juga ni nak bertentang mata dengan kawan-kawan yang dah berpuluh tahun tak jumpa. Harap perasaan malu tak bertempat tu tak datang masa berjumpa nanti.

Okey, kalau ada masa nanti gua sambung cerita lagi. Ada banyak kontena gua nak kena angkat ni.



10 comments:

  1. Hahaha...senak gua baca entri lu ni Din, tapi KUDOS!! Memang terbaekkkkkkkkkkkkkkkk!

    ReplyDelete
  2. Hahahahha! Panjang, tapi aku suka baca! Keep it up! Eh? Sekolah kita ada gengster ke? Sapa? Hahahah!

    ReplyDelete
  3. perghhh cayEr Lahh pAiman.. memeY terbaeKK Lah !!! teruskan lagik cerita Lu nih.. keep iT uP !! maTE !!!

    ReplyDelete
  4. yang paling tak bijak bestari tu la lu din

    ReplyDelete
  5. walaupon masih ada yg perlu di tokok tambah...tapi ko mmg klasss din...menunjukkan ingatan ko ngan beard ko tu seiring din....thumbs up!!

    ReplyDelete
  6. haihh dlm malu2 pon still leh men ejek2 name bapak dak2 pompuan..

    ReplyDelete
  7. terbaek. sepatah2 wa baca. apa username twitter?

    ReplyDelete
  8. Kepala bana la. Sape nak baca panjang-panjang ni?

    ReplyDelete
  9. hui panjangnya memori zaman sekolah

    ReplyDelete