Saturday, March 12, 2011

Jusco Tebrau dan Diari Mat Despatch



Kelmarin ketika bumi Johor Bahru hampir sepanjang hari dibasahi dengan air hujan, aku dan Farid Awaludin telah menghabiskan hampir separuh hari berkunjung ke Jusco Tebrau. Lawatan yang tidak disengajakan ini berpunca apabila Farid Awaludin memutuskan untuk tidak berkerja pada hari tersebut kerana lewat bangun tidur. Dah besar-besar pun masih mengalami masalah kelewatan bangun tidur. Kebetulan pula aku terpaksa menghantar kereta ke bengkel untuk dibaiki kerana mengalami sedikit masalah berkenaan kebocoran kecil pada bahagian enjen. Selesai menghantar kereta, kami berdua telah memutuskan untuk ke Jusco Tebrau bagi mencari perkakasan untuk projek kereta kecil. Sebenarnya kewujudan Farid Awaludin ke Jusco Tebrau ini adalah lebih kepada menemani aku dan aku pula terpaksa menumpang keretanya kerana kereta aku tidak dapat disiapkan dalam masa yang singkat.

Seperti kebiasaanya, apabila aku menjejakkan kaki dimana-mana gedung membeli belah, antara tempat wajib yang biasa aku kunjungi selain dari bahagian permainan adalah kedai buku. Misi kali ini adalah untuk mencari Majalah Kereta. Usaha kami untuk mencari Majalah Kereta dikedai-kedai runcit berdekatan telah menemui kegagalan. Aku tidak tahu dimana silapnya. Mungkin pihak pengedar tidak menjalankan tugas dengan baik dan berlaku kelewatan.

Ketika sedang sibuk mencari majalah Kereta dicelah-celah himpunan majalah yang lain, mata aku telah terpandangkan sebuah buku kecil yang kulit hadapanya agak berbeza dari kebanyakkan novel yang berada dipasaran. Sebenarnya buku kecil ini aku sifatkan sebagai sebuah novel juga. Buku kecil ini bertajuk "Diari Mat Despatch". Melihat pada tajuknya sahaja aku sudah terfikir sesuatu yang negatif. Ya, mungkin penulisnya bercerita mengenai motosikal dan dunia mat despatch yang selalu disulam dengan aksi rempit.

Tetapi bila aku membaca sinopsis dari buku kecil ini, ternyata sangkaan aku meleset sama sekali. Buku ini benar-benar mengingatkan aku pada format sebuah diari dimana terdapat garis-garis pada setiap ayat dan huruf yang diguna juga seolah-olah menggunakan tulisan tangan. Ini membuatkan aku sangat teruja untuk membeli dan membaca buku kecil ini. Tanpa membuang masa aku terus membayar di kaunter. Harganya tidaklah mahal, cuma sembilan ringgit dan sembilan puluh sen sahaja. Apalah sangat jika hendak dibandingkan dengan harga sekotak rokok yang dulu selalu aku beli.

Baiklah, aku tidak mahu bercerita mengenai aktiviti dan perjalanan aku selepas itu. Sekarang aku mahu bercerita tentang buku kecil dengan tajuk "Diari Mat Despatch" yang aku beli kelmarin.

Membaca buku kecil ini membuatkan aku lalai dengan suasana persekitaran aku. Aku tidak pedulikan bunyi bising mahupun perbualan orang disekeliling aku. Apa yang aku tahu, aku perlu terus membaca buku ini sehingga ke penghujungnya. Walapun tidak tebal, tetapi ia cukup membuat aku rasa terhibur. Terdapat banyak perkara dan isi didalam buku ini yang boleh membuatkan aku ketawa, terkesima, berfikir dan sebagainya. Buku ini bukan sekadarcatatan kosong untuk hiburan. Terselit juga bahan-bahan ilmuan, sindiran, keimanan,sarkastik dan sedikit elemen berkaitan dengan hati.

Walaupun tajuknya ada menyentuh tentang "Despatch", tetapi percayalah, setelah akumembacanya hingga ke penghujung, hampir tiada satu cerita pun yang menyentuh tentangmotosikal, lumba haram, aksi lagak ngeri dan perkara-perkara yang berkaitan dengan duniaremaja bermotosikal. Kecuali satu kisah dimana Rayyan ( watak utama di dalam cerita ini )kehabisan minyak motosikalnya.

Buku ini juga banyak mengupas tentang masalah Rayyan terhadap dirinya sendiri berhubung wanita-wanita sekitar yang dijumpai dan dikenalinya dimana dia sering keliru dengan hati dan perasaannya sendiri. Terdapat unsur percintaan, tetapi tidak keterlaluan sehingga pembaca hanyut dengan kata-kata pujangga, bunga-bunga, puitis dan sebagainya. Diseimbangkan dengan penceritaan keperibadian Rayyan itu sendiri. Pekerjaanya sebagai Mat Despatch yang memerlukannya menunggang motosikal untuk menghantar dokumen, berurusan dengan orang-orang pejabat, suasana dipejabatnya sendiri dan orang-orang sekeliling yang banyak membuatkan dia berfikir. Teman-teman serumah, jiran-jiran dan orang sekeliling.

Dalam masa yang sama, penulis sebenarnya menerapkan juga unsur ilmu didalam penulisan beliau. Seperti menceritakan ( sebenarnya lebih kepada mengajar ) bagaimana untuk menjadi seorang penulis yang baik iaitu dengan menjaga bahasa dengan teknik Bahasa Melayu Tinggi atau singkatannya B.M.T. Dalam diari ini Rayyan berkerja keras belajar menulis dengan penggunaan B.M.T bagi mendapatkan kerja sambilan sebagai editor di sebuah syarikat penerbitan. Secara tidak langsung dia sebenarnya mempraktikkan penggunaan B.M.T didalam diari hariannya. Motif utama dia mula menggunakan diari juga adalah kerana ingin belajar menulis dengan teknik B.M.T yang betul bagi menghadapi peperiksaan berkenaan B.M.T. Perperiksaan ini wajib bagi mereka-mereka yang ingin menjadi editor sambilan.

Apa yang lebih tertarik bagi aku sebenarnya adalah gaya dan cara penyampaian penulis. Dengan hanya menggunakan perkataan-perkataan yang ringkas dan mudah difahami. Tetapi pada aku, masih terdapat juga unsur intelektual. Pengguanaan "aku" sebagai kata pengganti diri di dalam buku cerita sebenarnya memang agak janggal, tetapi penulis telah menggunakan perkataan ini pada keseluruhan cerita didalam buku ini dengan baik sekali. Tak salah juga kalau aku katakan yang buku kecil merangkap diari ini sebenarnya mampu memberikan motivasi kecil buat diri aku tentang banyak perkara. Banyak ayat-ayat semangat terdapat di dalam diari ini.

Ah, sebenarnya aku sudah kehilangan kata-kata untuk mengulas dengan lebih terperinci tentang buku kecil ini. Yang pastinya aku tidak pernah menyesal membeli dan membaca naskah ringkas dari Bahruddin Bekr ini. Satu yang pasti tentang buku ini - best! Aku harap dengan satu ayat ini, kamu semua dapat meluangkan sedikit masa dan wang ringgit untuk membeli, memiliki dan membaca naskah ini. Buku kecil ini mula diedarkan sekitar penghujung tahun 2010. Ini bererti aku agak terlewat untuk membaca dan mengulas buku kecil ini. Biar lambat dari tidak berpeluang langsung. Ya, itu lebih baik rasanya. Dan aku rasa adalah lebih baik jika Diari Mat Despatch ini disambung lagi ceritanya kerana ada satu perasaan ingin tahu di dalam diri aku untuk mengikuti perkembangan hidup Rayyan, perkerjaannya, wanita-wanita disekelilingnya, dan yang lebih utama watak Wan Syarmila itu sendiri.

Kah kah kah, celaka! gua dah lama tak menulis dengan stail ayat-ayat skema macam ni. Macam taik pula jadinya. Gua saja nak amik feel menulis dalam gaya "Diari Mat Despatch ni. Sampai terikut-ikut pula. Tak sebenarnya dalam masa yang sama, gua sedang melatih diri gua untuk menulis dengan gaya Bahasa Melayu Tinggi pula. Betullah, bukan senang sebenarnya nak jadi seorang penulis novel ni. Sekolah kena tinggi juga. Paling-paling pun kena masuk universiti juga. Setakat gua ni lulusan SPM, mana la layak sangat. Tapi, tak boleh jadi juga. Gua rasa dah tiba masanya gua kena ada buku sendiri pula. Ya, gua maksudkan buku! bukan zine! kalau nak kata diari, gua dari tingkatan tiga dulu dah mula menulis diari, sampai la sekarang. Kalau gua tau macam ni pergi dia, memang gua jual jer diari gua tu. Keh keh keh. Dan kalau nak kata despatch, dalam sejarah kehidupan kerja gua, gua pernah jadi mat despatch selama empat tahun berturut-turut. Berhenti pun sebab kompeni jatuh bankrup. Kalau tak mungkin sampai sekarang gua masih lagi kerja sebagai mat despatch.

Dah, gua malas nak cakap banyak, gua rasa siapa-siapa yang tak beli buku ni memang poser! pandai-pandai la cari sendiri. Jangan asyik nak pinjam saja!

5 comments:

  1. pas ni wa tunggu buku lu pulak..."Diari Mat RTG"

    ReplyDelete
  2. orang besar-besar memang suka bangun lewat.
    maksud saya badan besar.

    0k.nanti nak pinjam!

    ReplyDelete
  3. tajam kata-kata mu itu maksu


    amacam?B.M.T tak ayat gua?

    ReplyDelete
  4. Celake.... macam baca karangan sekolah pulak... hahahaa

    ReplyDelete