Thursday, February 2, 2012

Punk dan Kereta Kecik

Wolfpack tu ramai juga yang ngecek, tapi gua tak jual pasal benda tu dah tak ada. Dulu masa banyak semua tak nak beli. Rasakan! 

Detestation tu pun sama juga. Dulu gua beli masa baru keluar. Kent Brockman tu pun dah susah nak dapat sekarang ni.

Ada satu orang tanya gua, apa kaitannya punk rock dengan kereta kecik. Gua pun tak tahu apahal dia boleh tanya gua soalan serius macam ini. Gua bukannya punk rock sangat, risau juga kalau-kalau jawapan yang gua kasi nanti lari dari tajuk atau fakta sebenar. Tapi bila gua fikir-fikir semula, ada elok juga gua cuba jawab soalan kawan gua ini berdasarkan pengalaman dan apa yang gua tahu serta gua praktikkan. Bukan secara bersemuka, tapi cukup sekadar disini. Mungkin kawan-kawan lain boleh tahu juga kaitannya nanti.

Sebenarnya kalau nak diikutkan memang terlalu banyak persamaan dan kaitan antara kereta kecik dan juga punk rock. Kereta kecik itu sendiri pada gua sangatlah punk rock. Bagi yang masih belum tahu, kereta kecik ni sebenarnya merupakan satu hobi. Hobi mengumpul dan membina kit kereta mainan berskala. Kenapa perlu membina? kenapa tidak beli sahaja yang sudah siap? eh, memanglah! punk rock itu sendiri perlu dibina asasnya. Mana ada kedai menjual "punk rock". Punk rock tidak boleh dibeli tetapi mungkin boleh dijual. Bagi sesetengah orang mungkin tertanya-tanya jadah apa kereta mainan boleh dikaitkan dengan punk rock. Itulah, ramai orang tak tahu betapa istimewa dan punk rocknya hobi kereta kecik ni.

Gua dah into hobi scene kereta kecik ni sejak tahun 1997 lagi. Masa tu gua baru lepas SPM dan dah bekerja secara kecil-kecilan. Bila dah ada duit sendiri baru ada kemampuan untuk membeli apa yang kita hajati. Masa sekolah dulu cukup hanya sekadar minat, tapi nak beli masih tak mampu. Maklumlah budak sekolah, bukan banyak duit. Kalau ada pun duit banyak digunakan untuk benda-benda yang penting berkaitan dengan sekolah. Bermula dari detik itulah sampai sekarang gua masih ketagih dengan kereta kecik. Tak pernah "quit" malahan makin bersemangat. Gua ni memang pesen dari kecik suka pada kereta mainan. Dulu masa kecik kalau pergi gedung membeli belah, kemudian masuk department mainan kalau bapak gua tak belikan kereta mainan yang gua nak, memang gua nangis guling-guling kat situ jugak. Sampai sekarang pun bila umur dah beranjak dua puluh lima tahun kalau gua pergi ke mana-mana gedung membeli belah, tempat paling wajib gua singgahi adalah bahagian mainan.

Alahai sebelum gua makin melalut jauh elok juga gua terus kepada persoalan kawan gua itu tadi. Seperti yang kebanyakkan kawan-kawan punk rock gua tahu bahawasanya punk rock itu asasnya adalah bersifat D.I.Y ( do it yourself atau dalam bahasa Melayunya buat sendri ). Jadi punk rock kalau masih bergantung pada masyarakat dan sistem arus perdana adalah sangat tidak punk rock bagi gua. Banyak benda dan perkara dalam punk rock kita boleh lakukan sendiri sebenarnya. Dari urusan pencetakkan, rakaman, urusan distribusi, pengiklanan, acara gig dan banyak lagi sampai gua tak ingat nak listkan kat sini. Maksud buat sendiri kat sini bukanlah kita buat kertas atau gitar sendiri. Tetapi urusan-urusan yang berkaitan dengannya. Jadah apa punk rock ada pengurus? ada bos? dalam punk rock tak perlu wujud dua elemen tadi ( pengurus dan bos ). Begitu jugalah halnya dengan kereta kecik. Setiap kereta kecik yang gua beli, gua perlu bina sendiri untuk melengkapkannya menjadi sebuah kereta yang cukup sifat mengikut kehendak dan selera gua walaupun ada sesetengah orang gemar juga membina dan melengkapkannya mengikut spesikasi yang telah ditetapkan ( spesikasi asal mengikut kotak ). Bergantung pada minat dan skills masing-masing. Mana part yang terlalu susah dan gua tak mahir tentangnya gua akan minta tolong pada kawan-kawan yang mahir. Begitulah sebaliknya.

Jentera perlumbaan Nissan Skyline

Toyota Celica TA28. Budak-budak yang main Celica real pun belum tentu ada benda ni. 

Datsun Skyline mengikut spesikasi suka hati gua. 

Toyota Celica TA22 dengan dua tone warna ikut suka hati gua. Masaki belikan kat Jepun. Kategori rare kepala bana juga la ni.

Bermula dari teknik menyembur warna kegemaran pada badan kereta, komponen-komponen kecil bahagian dalaman hinggalah pada teknik menggilap. Semuanya dilakukan sendiri dengan menggunakan peralatan dan kelengkapan "low budjet" tetapi dengan hasil yang sama seperti menggunakan peralatan dan kelengkapan "rich budjet". Gua bukan banyak sangat duit nak gunakan barang-barang branded. Cukup sekadar menggunakan barang dan kelengkapan yang ada dijual dikedai-kedai hardware tepi jalan. Gua tak perlu masuk Harrods atau Jusco Tebrau untuk membeli kertas pasir dan cat dalam tin. Setakat ini gua berpuas hati dengan hasil binaan gua. Okey, secara ringkasnya kat sini gua nak kasi tahu yang kereta kecik pun sama juga macam punk rock yang menitik beratkan etika D.I.Y. Itu belum lagi gua cerita teknik-teknik pengubahsuaian yang ekstrim dan sampai satu tahap ada yang buat mold plastik sendiri. Rumah dah macam kilang. Tak ada beza bukan dengan punk rock yang mencetak baju sendiri dirumah? Sekurang-kurangnya bagi gua. Kawan-kawan kereta kecik yang lain gua tak pasti. Tapi memang ada juga jenis yang beli kereta kecik banyak-banyak tapi suruh orang lain buat dan siapkan dari A sampai Z. Dia cuma tahu beli dan bermegah-megah bila kereta kecik tu dah siap.

Punk rock anti kepada sifat perkauman dan sell out. Benda ni sebenarnya dalam komuniti kereta kecik pun ada juga. Sekurang-kurangnya dalam Kelab Kereta Kecik Owners Club, namun ianya tidak tertakluk pada kelab kereta kecik yang lain. Setakat yang gua tahu ahli dalam KKOC ( Kereta Kecik Owners Club ) tidak mempunyai sifat rasis dan sell out walau hakikatnya semua line up dalam KKOC adalah berbangsa Melayu. Okey, kalau dalam punk rock kita ada kumpulan musick, tetapi dalam komuniti kereta kecik kita ada kelab-kelab kereta kecik. Persamaannya kalau dalam sebuah kumpulan musick punk rock ada seorang dua atau lebih ahli yang bersifat perkauman dan ingin sell out, maka otomatik kumpulan musick punk rock itu akan jadi tak sedap atau kata punk rocknya band tu jadi tak best dan potensi nak kena boikot memang cerah. Atau lebih malang lagi kumpulan itu akan berpecah dan tidak berjaya mencapai hala tujuannya. Begitulah halnya dalam Kereta Kecik Owners Club. Walaubagaimana pun kecenderungan komuniti kereta kecik untuk terjebak dengan gejala sell out sangatlah tipis. Kami tidak pernah meraih populariti dengan kereta kecik yang kami bina didunia arus perdana walaupun pada dasarnya hobi ini adalah bersifat arus perdana. Tiada kompeni gergasi atau arus perdana pun yang berminat dengan hobi kami yang bersifat kebudak-budakkan ini. Makwe tepi jalan pun tidak pernah ada yang menoleh bila kami mengusung koleksi kereta kecik kami. Syukur Alhamdulilah...

Kalau dalam scene punk rock ada istilah "Rare", begitulah sebaliknya dengan scene kereta kecik. Sebenarnya istilah "Rare" ni dalam scene apa pun ada. Baik scene kereta betul, scene kereta kebal, scene barang dapur, scene jurugambar pengantin, scene kerja sebagai wartawan, budak penghantar barang, alat solek wanita, kendarat sehinggalah kepada scene layang-layang dan biji guli. Seperti yang kita semua tahu, benda atau apa pun barang yang telah mendapat status "Rare" pasti harganya kadang-kadang tak masuk akal. Kadang-kadang harganya bagai menuntut nyawa dan darah. Kalau dalam scene punk rock satu LP rare boleh dijual pada harga mencecah ratusan ringgit, begitu jugalah halnya dengan kereta kecik. Kalau betul-betul rare dan susah nak dapat serta produksinya telah dihentikan, harganya boleh mencecah hingga RM500-600. Memang celaka juga kadang-kadang. Bagi orang berduit macam Halim Safian mungkin tidak punya masalah dalam hal ini. Tapi bagi golongan "low budget" macam gua ni, mengeluh juga la. Keinginan dan nafsu untuk selalu memiliki memang ada, tetapi kewangan pula tidak mengizinkan. Setakat ini kereta kecik yang gua beli dengan status "Rare" adalah pada harga RM200. Itupun siap kos penghantaran dari Jepun. Lebih dari harga RM200 gua konsider barang itu hanya untuk orang kaya. Macam mana pun pada gua rare ni bersifat subjektif. Apa yang lu anggap rare, belum tentu rare bagi gua. Rarenya sesuatu barang itu kerana ada minat. Dan bila ada minat maka wujud permintaan. Permintaan yang tinggi tetapi dengan kuantiti barang yang terhad, maka akan wujud situasi rebut merebut. Siapa cepat dan siapa berduit pasti akan menang. Ini palat dan ini malapetaka sebenarnya. Hobi adakalanya tidak boleh dijual beli. Hobi seharusnya lebih kepada keseronokkan, bukannya mencari keuntungan semata-mata. Hobi pada dasarnya adalah untuk mengurangkan stress, bukannya menambahkan lagi stress. Pergi jahanamlah dengan benda-benda rare. Gua dah mula stress pulak ni. Adoii...

Apahal pun status "Rare" ni dari apa yang gua tengok sebenarnya banyak merosakkan scene. Kadang-kadang kita bukan suka sangat pun dengan benda rare tu. Tapi disebabkan bila kita dapat tahu ada individu tertentu yang mencari dan sangat memerlukan barang tersebut, kita pun melabelkannya sebagai "Rare" dan sekaligus menjualnya pada harga yang tidak masuk akal. Sumpah, perangai macam ni memang palat. Lebih palat bila dapat pada harga yang murah, kemudian menjualnya pada harga berlipat kali ganda sampai tak masuk akal setelah diberi status "Rare". Harga tu memang hak individu nak letak berapa pun. Tapi terus terang gua memang tak berminat nak berkawan dan berurusan dengan manusia pesen macam ni. Apa benda yang dia into pun semua atas alasan business dan duit. Benda dah jadi tak seronok.

Bahagian enjen ni jer dah boleh buat gua demam. Dekat seminggu juga nak siapkan bahagian enjen ni. 

Kit ni memang detail sangat. Sebab tu leceh nak buat dan makan masa yang agak lama. 

Fiat Abarth 131 Rally Monte Carlo. Skala 1:20

Yang ni memang kategori rare kepala bana. Terbang RM200 beli benda ni. Oder dari Japan Auction. Minat punya pasal. Model ni dikeluarkan pada tahun gua lahir 1979.

Dalam scene kereta kecik pun sebenarnya ada juga golongan-golongan trendy dan juga poser. Macam juga rare, trendy dan poser juga ada dimana-mana hatta dalam surau dan masjid pun golongan ini wujud. Golongan-golongan ini gua label sebagai penyeri atau buat satu-satu scene tu jadi meriah atau nampak ramai. Memang tak banyak buat masalah dengan gua buat masa ni. Tapi kewujudkan golongan-golongan seperti ini pun kalau dah terlalu ramai sebenarnya boleh menjerumus kepada kerosakkan scene. Gua akui, yang kita semua pada dasarnya bermula dengan poser. Tak tahu apa-apa tetapi perlu belajar. Bukan tak tahu apa-apa tetapi buat-buat tahu dan tidak mahu belajar. Lebih sekadar ingin bermegah dan ikut-ikut. Akan tetapi bila kita mula serius pada satu-satu perkara dan kerja, Insyallah secara tidak langsung istilah poser itu akan lenyap sedikit demi sedikit dan menjadi sebati dalam diri. Gua berpegang pada "cepat kita naik, maka cepatlah kita jatuh". Jadi apa benda kita buat pun kena tenang-tenang tetapi serius. Serius dalam berseronok. Tak boleh nak terburu-buru sangat. Orang main kereta kecik dia pun nak main kereta kecik, orang sibuk dengan Fixie, dia pun sibuk dengan Fixie, orang sibuk dengan scene kereta lama dan drift, dia pun tak ketinggalan. Habis musim, dia jual kereta, jual basikal beralih pada sukan scrambler pulak. Dan begitulah seterusnya. Buat satu benda tu tak pernah kekal lama. Jenis macam ni memang kadang-kadang buat gua rasa geram juga.

Jika dalam scene punk rock ada etika vegan, straight edge, anarkis, pro-life, pro-choice dan bermacam etika lagi, tetapi dalam Kelab Kereta Kecik Owners Club cuma ada straight edge sahaja. Memang, gua tak temberang. Dalam kumpulan ni semua line up tak hisap rokok, minum arak, hisap dadah dan mengamalkan gaya hidup seks bebas. Elemen-elemen arus perdana ni semua memang tak wujud sama sekali. Bezanya kami semua tak pernah dan tak perlu memangkah tangan atau melabelkan diri kami untuk menunjukkan yang kami ini straight edge atau terlalu positif dalam mengharungi kehidupan seharian kerana kami percaya etika-etika ini adalah bersifat peribadi. Ya, semua line up dalam Kelab Kereta Kecil Owners Club pemakan daging tegar.

Kereta Kecik pun ada flyers juga! ada gig juga! jangan ingat benda ni main-main! 

Ini flyers gig yang gua tak dapat pergi. 

Aduhai, gua rasa gua dah mula melalut terlalu jauh ni. Rasanya banyak juga yang dah lari dari tajuk. Bukan gua tak nak teruskan bercerita pasal tajuk ni, tapi gua rasa gua perlu berhenti kat sini pasal benda ni dah jadi terlalu panjang. Mana ada orang nak baca entri panjang-panjang. Buat sakit kepala jer nanti kena scroll banyak-banyak kali. Tapi sebagai seorang punk rock gua memang jenis tak pandai nak buat entri panjang-panjang. Okey, gua berhenti sini dulu, kalau ada apa yang tak puas hati jangan segan-segan untuk berkomunikasi dengan gua. Sekian terima kasih. Majulah punk rock untuk kereta kecik!


5 comments:

  1. "Mana part yang terlalu susah dan gua tak mahir tentangnya gua akan minta tolong pada kawan-kawan yang mahir"

    soalan saya:

    sejauh mana kita perlu minta tolong agar masih dalam scene DIY?

    maksud saya, katakan saya artis lagu balada.sebab saya taktau marketing dan uruskan kehidupan sendiri, saya minta tolong kawan saya uruskan jadual persembahan dan tolong buat marketing. dengan sedikit upah tentunya. adakah saya tidak dikira sebagai DIY? saya menyanyi sendiri, tapi kerja-kerja yang saya taktau saya serahkan kepada yang mahir. sama seperti tuan menyerahkan part kepada yang lebih mahir.

    mohon pencerahan.

    ReplyDelete
  2. kalo "tolong kawan" nak kena ada upah ke?
    wang/belanja saguhati mungkin laa..
    tapi kalo dah letak rege, bukan nolong nama nyaaa..
    DIY shld be "low cost".. tak cekik darah.. suke sama suke..
    tapi dlm situasi yg ko bagi tu jeb, dah mcm ada pengurus...
    so aku vote sebagai TAK DIY!

    ReplyDelete
  3. Maksud mintak tolong tu, jangan malas sangat. Mintak tolong tu kena la ada inisiatif sambil belajar. Bila kawan tu dah ada willing nak tolong, kita kena ada sekali pada masa tu untuk tengok macam mana dia buat. Bila dua atau tiga kali dah tengok insyallah kita dah tak payah minta tolong dia lagi. Kita belajar pulak buat benda yang lain yang kita tak tahu.

    Berdasarkan dari pengalaman, biasanya kawan-kawan yang banyak membantu aku, mereka tak pernah mintak bayaran, tapi aku kasi ganjaran ikhlas setimpal dengan apa yang dia buat dan apa yang dia suka. Benda-benda macam ni maksud aku merujuk berapa rapat kau kenal dengan kawan kau tu juga. Aku tak sarankan benda ni pada kawan yang kau baru kenal sebulan atau dua tiga tahun.

    ReplyDelete
  4. terima kasih saudara anon dan saudara redup pemikiran atas pencerahan anda.

    ReplyDelete
  5. gila! kalah gua punya koleksi...

    ReplyDelete