Tuesday, August 9, 2011

Entri nak dapat anak saudara di bulan Ramadhan.


Yang sebenarnya dah berapa hari jantung gua berdegup agak kencang dan tidak sekata. Sekejap naik dan sekejap turun. Idling macam pakai aci sesondol spec perlumbaan. Kalau ikut bacaan dalam RPM mungkin cecah 9000 hingga 12000. Standard dengan menggunakan aci sesondol perlumbaan dan kaberater berkembar. Kadang-kadang sampai naik sesak nafas dan dahi berpeluh. Manusia berjiwa push rod macam gua ni bukan jenis boleh hi rev selalu. 

Adik gua yang baru mendirikan rumahtangga hari tu ada kat rumah ni. Balik sempena menyambut ramadhan. Perut dia dah membusung. Gua tengok pun dah nampak macam janggal jer. Dulu sebelum kahwin, masa dia kecik-kecik tak pernah sekali pun perut dia jadi besar macam sekarang ini. Ini tanda-tanda dia akan melahirkan anak buah pertama buat gua. Makan pun dah mula berpantang-pantang. Apa segala yang diminta pun mesti mendapat. Layanan dari ibu bapa gua pun lain macam pergi dia. Minta itu dapat, minta ini dapat. Cemburu pula gua. Agaknya kalau gua pregnant tentu gua pun akan dapat layanan yang baik. Gua nak minta enjen 1UZ satu.

Dan sebenarnya dah masuk dua hari juga adik gua kena tahan dekat hospital. Gua tak tahu apa pasal. Yang pasti tentulah sebab sakit. Sakit apa gua tak tahu. Yang pasti berkenaan dengan perut dia yang membusung itu. Gua jadi kasihan dan tidak keruan. Itu sebab jantung gua berkadaran RPM tinggi sahaja pada minggu ini. Risau dan berdebar-debar kau tahu? Teruja.

Dalam masa yang sama gua panjatkan kesuyukuran pada Allah sebab tak lama lagi gua akan ada anak buah. Ya, anak buah yang pertama. Kalau lelaki tentu gagah dan comel seperti gua. Bila gua dah ada anak buah nanti, automatik gua akan jadi lebih penyayang pada kanak-kanak. Dan automatik juga gua dah kena standby duit raya untuk anak buah pada setiap tahun.

Gua dah mula berfikir-fikir nak kasi nama apa pada anak buah gua. Kalau perempuan apa yang sesuai dan kalau lelaki apa yang sedap. Mungkin hujung minggu nanti gua dah boleh pergi gedung membeli belah untuk membeli kelengkapan untuk bayi. Baju, puting susu, kasut, stokin, playar, ragum kakak tua, pemutar skru dan apa sahaja yang berkenaan untuk membentuk bayi perkasa. Kalau pergi pasar karat mungkin gua akan sambar baby stroller satu. Sekurang-kurangnya gua dah ada alasan kukuh sekarang ini nak beli baby stroller. Gua nak cari yang branded-branded punya. Tak kisah kalau berhabis duit untuk anak buah.

Kalau dia lelaki gua bercadang nak jadikan dia seorang yang berjiwa motorsport dan handal memanah. Kenal apa itu aci sesondol, kaberater, omboh dan tahu bagaimana nak servis, tukar tayar dan minyak hitam kereta sendiri. Yang paling penting gua akan tanamkan sifat suka dan sayang pada kereta-kereta lama. Terutamanya dari jenis Toyota. Atau mungkin gua akan wariskan Cik Corona pada dia. Mungkin la...

Kalau anak perempuan? entah gua belum fikir apa-apa lagi sebab mak gua baru balik dari hospital dan dia kasi tahu yang anak buah gua akan lahir dalam keadaan tidak cukup bulan. Berat badannya cuma setengah kilo sahaja dan mak gua sekarang ini tengah timbang anak kucing untuk membayangkan berapa besar anak buah gua yang bakal lahir nanti. Haih. Gua terus rasa lemah satu badan nak sambung entri ini. Apa pun gua berdoa pada Allah semoga semuanya selamat...


2 comments:

  1. Setengah kilo ke satu setengah kilo? Kalau setengah kilo, lebih kecik dari sekampit gula tu. Seram sungguh. Apa pun semoga semuanya okay.

    ReplyDelete
  2. apa-apa p0n kena ada anak sendirik jugak.

    ReplyDelete