Semalam petang hujan lebat mencurah-curah tak berhenti. Tak macam selalu. Pukul 5.00 biasanya dia akan berhenti. Nyatalah, hujan terletak ditangan tuhan. Niat aku nak konsisten naik moto pergi kerja untuk minggu ni nampaknya terbantut lagi. Ni kalau aku pakai baju hujan dua lapis yang dah berusia lima tahun tu pun, sampai tempat kerja yang memakan masa 45 minit tu, konfirm basah juga. Walaupun tak basah kuyup, tapi kalau kelengkang dah basah, otomatik nak buat kerja, nak angkat kontena dah rasa tak sedap. Jadi ada baik, nak tak nak aku kena bawak kereta juga. Sebenarnya aku tak minat sangat nak bawak kereta pergi kerja pasal kos dia agak tinggi. Minyak dah RM35 untuk tempoh tak sampai tiga hari. Tol untuk pergi dan balik dah RM10 sehari. Kalau amalkan memandu kereta untuk setiap hari ke tempat kerja, jawabya bila masa aku nak berumahtangga? Sekarang ni 10 sen pun kena berkira juga kalau serius nak berumahtangga. Lagipun bukan ke lelaki yang menunggang motosikal ke tempat kerja tu nampak lebih gagah dan kacak?
Okey, disebabkan hari ni aku bawak kereta ke tempat kerja, aku fikir ada baik juga aku terus pergi isi minyak spare dalam botol. Dua-dua minyak spare kat rumah ni dah habis. Esok lusa kalau emergency nak pakai minyak dah payah. Kebetulan kereta aku minyak pun dah nazak. Nak tak nak kena juga pergi pam minyak berdekatan. Kat rumah aku ni memang aku ada standby dua botol minyak petrol RON 97 untuk tujuan kecemasan. Biasanya aku guna untuk topap minyak moto dan mesin rumput kasi menten full dalam tank. Maksudnya walaupun moto dan mesin rumput tu tak bergerak selama sebulan, minyak dalam tu sentiasa penuh. Bila lepas guna walaupun sekadar pergi kedai kat depan taman, balik aku akan topap semula kasi penuh. Maklumlah, rumah aku ni jaraknya dengan pam minyak memang jauh. Leceh. Jadi aku amik langkah bijak dengan simpan dua botol minyak petrol spare kat rumah ni sebagai langkah berjaga-jaga. Tabiat aku ni sebenarnya dah banyak kali juga menyelamatkan keadaan jiran dan kawan-kawan yang kehabisan minyak. Salah seorangnya Tuner From Hell sendiri yang kehabisan minyak sewaktu melalui jalan Kulai - Kluang ditengah malam hari yang kiri kanannya hutan belantara.
Disebabkan aku dah agak lambat untuk ke tempat kerja, lepas isi minyak tadi aku fikir nak konsisten terus atas hiway dengan 120 kmj bertubi-tubi. Hujan-hujan ni memang jarang ada speed trap. Kamera AES celaka tu pun masih belum wujud lagi sepanjang laluan aku untuk ke tempat kerja. Jadi kalau nak memandu laju tu memang line agak clear juga la. Aku perhatikan depan, belakang, kiri dan kanan line memang clear. Tak ada kereta. Kalau ada pun sebiji moto yang sayup-sayup mata memandang. Jauh. Yang nampak jelas cuma lopak-lopak air diatas jalan raya dan titisan air hujan mencurah-curah membasahi bumi. Tanpa fikir panjang, aku maintain tekan minyak untuk dapatkan 120 kmj. Baru berapa minit aku memecut kat hiway, tiba-tiba kereta aku hilang kawalan sewaktu melalui satu lopak air yang agak besar. Mengeletat juga aku dibuatnya. Sebagai seorang bekas drifter dan juga bekas tunangan orang, aku cuba mengawal keadaan dengan sebaik mungkin.
Keadaan kereta dah mula mengelongsor ke kanan jalan dan mula terhoyong hayang. Lagaknya macam orang tengah buat aksi drift. Aku cuba bertenang dan counter semula stereng ke kiri sambil lepaskan pendikit minyak untuk mengurangkan kelajuan. Tapi disebabkan keadaan jalan yang licin dan agak laju tadi, maka tak ada apa perubahan yang berlaku. Kalau aku tekan emergency brake, tentu keadaan akan menjadi lebih huru hara. Dalam keadaan licin, stereng dan brake sebenarnya dah tak berapa function. Jadi kita tak boleh nak berharap pada dua benda tu semata-mata. Disebabkan kereta mengelongsor dalam keadaan terkejut dan tersentak, salah satu botol yang berisi petrol tadi yang aku letakkan dibahagian tempat duduk depan penumpang telah melambung sekaligus penutupnya terbuka dan petrol didalamnya menyembur hampir disegenap ruang. Keadaan semakin huru hara disamping aku sedang sedaya upaya cuba mengawal keadaan kereta yang dah sememangnya huru hara. Mana nak capai botol berisi petrol, mana nak kawal stereng lagi. Memang huru hara. Tali pinggang keselamatan pulak menjadi penghalang untuk aku mencapai botol berisi petrol yang dah tercampak jauh dari tempat yang sepatutnya tadi. Celaka betul. Yang lebih dramatik bila aku dah mula rasa sesak nafas. Udara dalam kereta yang telah dicemari dengan bau petrol dan alat penghawa dingin menjadi satu. Udara bercampur gas petrol dengan cepat merebak ke dalam rongga penafasan dan singgah diparu-paru. Macam nak pengsan aku dibuatnya.
Keadaan menjadi agak terkawal bila aku dapat bukak tali pinggang keselamatan sekaligus terus mencapai botol berisi petrol yang mana minyaknya tinggal hanya separuh. Selebihnya dah melekat kat dashbord, radio, tempat duduk, panel handbrake, pintu, bumbung, lantai dan badan serta muka aku sendiri. Cepat-cepat aku tutup balik botol berisi petrol tadi. Matikan alat penghawa dingin, bukak semua cermin tingkap depan dan belakang. Fuh, lega sikit dapat hirup udara segar. Bila keadaan dah semakin tenang, aku Istighfar panjang dan teruskan pemanduan sambil lidah tak putus-putus mengucapkan kalimah Alhamdulilah. Aku tengok cermin pandang belakang, ada sebiji moto. Mungkin dialah satu-satunya saksi kejadian bodoh aku tadi. Mujur moto tu pun jauh. Kalau dekat samaada dia ketawakan aku ataupun turut mengelabah untuk megelak aksi bodon aku tadi.
Bila keadaan sudah kembali tenang dan jantung pun dah kembali stabil, terfikir juga aku. Andai kata dibelakang aku tadi ada kereta, pejalan kaki, moto atau lori kontena yang mengekori aku dengan rapat, entah aku sempat buat entri ni atau tidak. Dahlah hiway Senai - Gelang Patah ni sibuk dengan lori dan segala macam kenderaan berat. Kalau berdentum tadi mau remuk juga kereta aku. Sudahnya sepanjang perjalanan ke tempat kerja aku tak bukak penghawa dingin. Bau petrol masih tak hilang-hilang lagi. Mungkin bila matahari terbit esok lusa, baru bau tu hilang.
Aku simpulkan kejadian dramatik tadi mungkin berpunca dari pengunaan tayar yang tidak sesuai. Mungkin bunga tayar kereta aku ni direka bukan untuk membelah air, tapi angin. Biasalah, pakai tayar buatan Malaysia. Harga pun murah. Harap bunga je besar, tapi bila redah air, macam nilah jadinya. Huru hara. Yang aku pun satu, dah tau hujan-hujan, apa kedodol nak bawak laju-laju juga. Hiway kat Malaysia ni pun turapnya bukan power sangat. Bayar tol mahal-mahal pun jalan tak rata. Air bertakung sana sini. Entah sampai bila la scene jalan raya kat Malaysia ni nak maju. Asal dapat projek juta-juta je kasi pada kroni. Lepas tu makan duit lebih. Dapat lapan belas juta, tapi kos barang pakai yang sejuta. Memang macam nilah akibatnya. Tarnya sikit, pasir je banyak. Mana tak jalan cepat jahanam. Orang Melayu ni pesen kalau dapat projek juta-juta memang cepat buta hati. Cepat sangat nak kaya sampai keselesaan dan nyawa orang lain pun tak diambil kira.
Begitulah kisah dramatik aku semasa hari hujan semalam. Suspen betul.
fuhhh..dramatik sungguh...
ReplyDeleteaku cari aes celaka tadi jumpa plak ko nih. mantaplah attitude standby minyak tuh. bekas drafter & tunangan org haha!! apesl tak tanya komen mamat moto kat belakang tu amcam ko punya performance. dan aku setuju projek juta2 hanya masuk perut kroni tanpa pedulikan nyawa rakyat marhaein.- baru kena AES CELAKA.
ReplyDelete